KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira Putra Malaysia mengajak semua pemimpin masyarakat yang mewakili parti politik, NGO dan apa sahaja organisasi agar bersatu hati demi mengembalikan kesejahteraan rakyat serta negara.
Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, sudah sampai masanya semua pihak berkenaan bergabung memandangkan keadaan semasa negara ketika ini tidak menggambarkan akan pulih seperti sedia kala dalam tempoh terdekat ini.
Ujar beliau, rakyat semakin gelisah dengan ancaman Covid-19, yang menyaksikan kes positif meningkat setiap hari.
“Nampaknya kerajaan hari ini gagal mengawal dan menanganinya, malah peraturan yang longgar menambahkan lagi penularan wabak Covid-19.
“Kerajaan juga seperti tidak serius dengan melonggarkan kemasukan warga luar masuk ke negara ini sama ada secara rasmi atau tidak rasmi yang berkemungkinan menjadi pembawa jangkitan Covid-19.
“Ini semua berpunca daripada kerakusan pemimpinnya merebut kuasa dan ingin kekal berkuasa sehingga akhirnya rakyat yang menjadi mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Nasrul Ali Hasan, sayap parti itu seiring dengan pandangan Presidennya mohon ampun perkenan Yang di-Pertuan Agong memanggil Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu membincang dan mempertimbangkan keabsahan Perdana Menteri serta kemampuan hasil pencapaiannya dalam menyelesaikan isu serta kemelut semasa.
Katanya, Yang di-Pertuan Agong wajar menilai semula kewibawaan Perdana Menteri yang ketika ini dilihat sudah hilang sokongan dan kepercayaan majoriti Ahli Parlimen atas kegagalannya dan Kabinetnya mengurus tadbir isu penularan Covid-19.
“Beliau juga gagal membawa masuk pelaburan, menambahbaik ekonomi negara dan rakyat serta ancaman kuasa luar sejak memegang tampuk kepimpinan negara.
“Ini kerana pasukan yang dibentuk Perdana Menteri nyata gagal menangani segala permasalahan hingga pelbagai musibah datang,” katanya.
Beliau berkata, satu pasukan baru dianggotai individu lebih berpengalaman, berkemahiran dan efektif perlu dibentuk melalui Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang bertindak membentuk pelan jangka pendek dan panjang untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.
Katanya, mewujudkan MAGERAN bukan bermakna Yang di-Pertuan Agong telah menggunakan talian hayat terakhir yang akan melumpuhkan negara, tetapi sebagai langkah memulakan satu permulaan baharu dengan melakukan pembetulan secara menyeluruh.
“Sebagai pemimpin berjiwa besar, keutamaan menjaga kepentingan negara dan rakyat adalah nilai wajib yang harus tersemai dalam jiwa setiap pemimpin.
“Ia adalah satu nilai yang melebihi segala agenda peribadi dan kepentingan politik mahupun kepentingan organisasi.
“Jangan sekadar melihat untuk menyelesaikan masalah pada masa ini sahaja, negara perlu ditinggalkan dengan baik dan sejahtera bagi generasi akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

















Kes ingkar SOP pun meningkat macam tak reti bahasa tawakkal.