KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) Johor menjunjung kasih dan menyokong titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya diadakan permesyuaratan antara ahli-ahli Parlimen dan ADUN Johor.
Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, pihaknya juga menerima baik kenyataan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad bahawa permesyuaratan itu akan diadakan minggu depan.
“Kami percaya pendekatan dwipartisan dalam menangani wabak pandemik yang semakin meruncing adalah yang terbaik demi nyawa dan keadaan ekonomi rakyat,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Di Johor Bahru semalam, baginda bertitah supaya semua Ahli Parlimen dan ADUN di Johor mengadakan satu perbincangan khas berhubung Covid-19, yang dipengerusikan Menteri Besar Johor.
Titah baginda, melalui perbincangan itu, semua Ahli Parlimen dan ADUN boleh memberikan ‘buah fikiran’ dan pandangan masing-masing dalam membendung penularan wabak Covid-19 dan menyelesaikan masalah dihadapi oleh rakyat Johor.
Menurut Aminolhuda, terdapat lima tuntutan mendesak yang perlu dibincangkan segera oleh mesyuarat bersama Ahli Parlimen dan ADUN Johor itu.
Antaranya, kata beliau, melakukan ujian saringan secara besar-besaran, perancangan vaksinasi Johor, pakej bantuan kepada bangsa Johor, perancangan pembukaan semula sempadan Johor – Singapura dan menamatkan perintah darurat.
Berhubung tuntutan pertama iaitu melakukan ujian saringan secara besar-besaran, katanya, kerajaan Johor dicadangkan melakukannya secara percuma bagi mengatasi penularan wabak yang serius dalam komuniti.
Ujar beliau, kerajaan negeri juga boleh menggerakkan hospital di bawah KPJ Healthcare yang dimiliki Johor Corporation Bhd (JCorp) bagi mempergiatkan pemeriksaan Covid-19 supaya dapat menjejak jangkitan terutama antara mereka yang tidak menunjukkan sebarang simptom.
“Penggunaan Antigen Rapid Testing (RTK-Ag) harus digalakkan dan pencegahan awal dapat membantu kita menganalisis situasi dengan lebih cermat dan mengurangkan kos serta kesan jika dibandingkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Tuntutan kedua, perancangan vaksinasi Johor pula, kita melihat pendaftaran vaksinasi di negeri ini melalui aplikasi MySejahtera masih lagi rendah iaitu sekitar 1.24 juta orang bersamaan 43.83 peratus berbanding 2.9 juta orang yang layak menerima vaksin.
“Malah, jumlah rakyat Johor yang telah menerima vaksinasi juga kekal rendah pada kadar 4.38 peratus,” katanya.
Justeru, kata Aminolhuda, mesyuarat dwipartisan Ahli Parlimen dan ADUN Johor perlu membahaskan perancangan untuk memperluaskan kempen kesedaran vaksinisasi kepada warga Johor dan mencapai angka pendaftaran sekurang-kurangnya 70 peratus daripada keseluruhan mereka yang layak.
Bagi tuntutan ketiga, pakej bantuan kepada bangsa Johor, beliau menyatakan pakej rangsangan ekonomi tambahan perlu dibahaskan di negeri Johor bagi membantu mereka yang terkesan ketika perintah darurat dan PKP 3.0.
Kata beliau, bantuan ekonomi perlu diberikan kepada golongan berpendapatan rendah, peniaga kecil sederhana (PKS), anak muda dan pekerja yang amat terkesan, bahkan hilang pendapatan akibat PKP yang dilaksanakan kerajaan pusat.
“Wajar sekiranya kerajaan negeri, Ahli Parlimen dan ADUN Johor membincangkan pelan ekonomi negeri ini dan menyemak semula Belanjawan 2021 Johor untuk memastikan ekonomi rakyat terus berdaya tahan dan boleh berkembang untuk satu tempoh jangka panjang khasnya ketika pandemik belum reda.
“Mengenai perancangan pembukaan semula sempadan Johor – Singapura, kita menyambut baik prosedur terkini yang membolehkan warganegara Malaysia yang merupakan pelajar sedia ada dan pemegang pas jangka panjang untuk keluar negara, terutamanya ke Singapura.
“Perbincangan mendalam mengenai perkara ini wajib diteruskan bagi memastikan bangsa Johor dan anak Malaysia yang bekerja di seberang tambak dapat meneruskan keberlangsungan hidup,” ujarnya.
Jelas beliau, kerajaan Johor perlu mendesak kerajaan Malaysia – Singapura menyegerakan perancangan pembukaan sempadan selepas keadaan lebih stabil untuk memulihkan ekonomi negeri ini setelah kian lama terjejas akibat krisis wabak pandemik Covid-19.
Tuntutan terakhir ialah menamatkan perintah darurat, yang mana pihaknya mencadangkan mesyuarat Ahli Parlimen dan ADUN Johor membahaskan usul agar kerajaan negeri boleh mengambil langkah mendesak Kerajaan Persekutuan untuk segera menamatkan darurat.
Ini kata beliau, supaya institusi demokrasi negara, Parlimen dan DUN dapat bersidang semula bagi membincangkan ekonomi rakyat dan negara.
“Tiba masanya kerajaan persekutuan menerapkan tadbir urus yang inklusif secara dwipartisan dalam memerangi wabak pandemik bersama kerajaan negeri, Ahli Parlimen, ADUN serta rakyat secara menyeluruh.
“Kita minta Menteri Besar mempertimbangkan agenda ini untuk dibahaskan dalam sebuah mesyuarat seperti yang dititahkan oleh Tuanku Sultan demi nyawa dan ekonomi rakyat, khasnya bangsa Johor,” katanya.- MalaysiaGazette
















