Seramai lapan pendatang tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Op Benteng Covid-19 di sebuah kebun kelapa sawit di Jalan Parit 5, Kampung Baru Sekinchan, semalam.

KUALA LUMPUR – Seramai lapan pendatang tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Op Benteng Covid-19 di sebuah kebun kelapa sawit di Jalan Parit 5, Kampung Baru Sekinchan, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, tangkapan dilakukan anggota Batalion 4 PGA Semenyih bersama anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam kira-kira pukul 8.30 malam.

Menurut Rizal, hasil pemeriksaan mendapati kesemua lelaki warga asing berusia lingkungan 21 hingga 32 tahun terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Kesemua individu berkenaan dipercayai ingin keluar dari negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut dengan menggunakan bot.

“Individu yang ditahan dibawa ke Balai Sekinchan untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kesemua tangkapan akan menjalani ujian saringan Covid-19 bagi mencegah penularan virus tersebut dalam kalangan tahanan dan anggota polis.

Dalam pada itu, Rizal turut menyeru masyarakat supaya memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada Polis Diraja Malaysia berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast