KUALA LUMPUR – Dalam keadaan negara sedang berdepan dengan Covid-19, proses vaksinasi dianggap sungguh penting bagi mencapai imuniti kelompok.
Namun masih ada kerisauan segelintir golongan yang masih ketinggalan mendapatkan suntikan imunisasi itu.
Menurut Ketua MIC Bahagian Kepong, R. Krishnamoorthy, pihaknya bimbang nasib golongan yang tidak mempunyai sebarang pengenalan diri dalam proses vaksinasi.
“Yang tidak ada kad pengenalan, yang tidak ada surat beranak sehingga menyebabkan ada isu dalam mendapat kad pengenalan sehingga sekarang bagaimana? Golongan ini sebenarnya tidak akan mempunyai aplikasi MySejahtera untuk mendaftar diri.
“Walaupun sememangnya ada inisiatif kerajaan memberi kebenaran untuk walk in ke mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara terus tanpa janji temu di Lembah Klang sejak 2 Ogos lepas namun adakah golongan yang tidak mempunyai kad pengenalan dibenarkan divaksin?” soalnya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Krishnamoorthy, perlu ada pencerahan dalam isu itu dan memohon kerajaan supaya juga memberikan kemudahan tertentu untuk golongan berkenaan yang rata-ratanya mendiamkan diri sahaja memandangkan tidak mampu mendaftarkan diri.
“Ada juga tidak faham dengan kepentingan vaksin ini, pada mereka kerana tidak ada pengenalan maka tidak layak terus untuk vaksinasi. Sebenarnya kumpulan ini juga ramai, kerajaan perlu halusi isu ini,” katanya.
Kata Krishnamoorthy yang juga Penolong Setiausaha MIC Negeri Wilayah Persekutuan, pihaknya juga ada didekati kumpulan yang sama bagi memohon bantuan.
“Mungkin juga kejahilan serta tiada pendidikan menyebabkan kumpulan ini tidak mendapat sijil kelahiran kemudian gagal mendapat kad pengenalan. Siapa sangka pula pandemik Covid-19 ini akan melanda.
“Dilema juga jika isu ini tidak ditangani. Risau sebenarnya, bayangkan semua dapat divaksinasi kemudian ada satu dua dalam keluarga belum dapat vaksin. Bagaimana itu?
“Mohon sangat-sangat pada kerajaan beri sedikit kelonggaran, yang penting imuniti kelompok itu dapat dicapai seberapa segera lagi-lagi keadaan semakin kritikal pada masa ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















