Wan Saiful Wan Jan

PETALING JAYA – Draf Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang dijanjikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dibentangkan ke Parlimen sebelum ini masih peringkat perbincangan.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, setakat ini tiada sebarang keputusan muktamad dicapai dalam kalangan ahli Parlimen Bersatu setakat ini.

“Dalam Bersatu kita masih ada perbincangan mengenai hal ini, saya rasa yang eloknya saya jangan bagi komen yang muktamad.

“Setakat ini kita masih berbincang mengenai isu anti lompat parti ini, ada yang mengatakan kita patut sokong diperkenalkan undang-undang tersebut.

“Ada yang mengatakan bahawa kita tak boleh bersetuju sebab ini adalah hak asasi. Bila sampai masanya kita buat satu keputusan nanti, akan ada makluman rasmi yang kita lakukan,” katanya pada sidang media hari ini.

Pada 13 Ogos lalu, Muhyiddin pernah berjanji untuk membentangkan RUU Anti Lompat Parti ke Parlimen sekiranya ahli Dewan Rakyat menyokong sepenuhnya usul undi percaya terhadap Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Pagoh itu pernah menyuarakan cadangan terbabit ketika pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 20 Disember 2018 agar akta tersebut dilaksanakan.

Malah pada 30 Ogos lalu, Setiusaha Agong UMNO, Datuk Ahmad Maslan turut mengulangi cadangan itu agar dibentangkan dalam sidang Parlimen pada 16 September ini.

Dalam pada itu, Wan Saiful tidak menafikan RUU Anti Lompat Parti telah menimbulkan pelbagai pertikaian dalam kalangan ahli Parlimen.

“Saya pernah buat kajian mengenai anti lompat parti ini. Ada pihak mengatakan bahawa tak boleh lompat parti, bila rakyat pilih, dia bukan pilih calon.

“Ada satu pihak lagi memberi hujah bahawa kita tidak boleh menghalang orang daripada berpindah parti.

“Bila rakyat pilih, bukan wakil parti, dia pilih wakil rakyat, maka wakil itu boleh pergi mana-mana parti sebab parti itu tidak penting,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast