KUALA LUMPUR – Mesyuarat Biro Politik UMNO yang berlangsung petang tadi tidak membincangkan isu kekecewaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung perkembangan politik negara.
Sebaliknya mesyuarat yang berlangsung selama dua jam itu hanya berkisar tentang parti selain persediaan yang perlu dilakukan oleh jentera semua peringkat, kata anggota Biro Politik UMNO, Datuk Abdul Rauf Yusoh.
“Itu kita akan nyatakan nanti…kita tak tahu apa yang Agong kecewa, tak dibincangkan pun tentang kekecewaan Agong.
“Yang pastinya negara memerlukan keadaan politik yang stabil,” katanya ketika ditemui pemberita sejurus selesai mesyuarat berkenaan yang berlangsung di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia malam ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan mesyuarat biro berkenaan yang berlangsung sejak pukul 5 petang.
Ditanya sama ada kerjasama antara Pas dan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) turut dibincangkan, Abdul Rauf berkata, perkara itu juga tidak terkandung dalam agenda mesyuarat hari ini.
Sementara itu, seorang lagi anggota biro politik berkenaan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, mesyuarat hari ini ada kaitan dengan cara bagaimana untuk memperkasakan jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) semua peringkat.

Katanya, UMNO dan BN perlu melakukan kerja seperti mana orang hendak menang dan bukan hanya berdiri sahaja.
“Untuk menang UMNO/BN kena buat kerja orang mahu menang, cara bercakap, cara orang mahu menang, gaya dan kerja pun orang mahu menang.
“Kalau cuma mahu menang tapi bekerja tak mahu menang, itu useless…Insyallah kita akan all out untuk mendapatkan kemenangan kepada BN,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















