Khairy Jamaluddin berjumpa dengan sekumpulan wanita semasa mengadakan walkabout sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Paya Jaras Hilar, Sungai Buloh, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 04 NOVEMBER 2022.

SUNGAI BULOH – Pengundi-pengundi Sungai Buloh menerima baik Khairy Jamaluddin sebagai calon Parlimen kawasan itu untuk Pilihan Raya Ke-15.

Khairy berkata, meskipun begitu beliau akan bekerja keras sepanjang kempen untuk memastikan kerusi itu dimenangi Barisan Nasional (BN).

Ini kerana, BN kalah majoriti lebih kurang 26,000 undi pada PRU14,  justeru Sungai Buloh bukanlah kawasan yang mudah.

“Penerimaan alhamdulillah, baik, tapi bukanlah satu kempen yang mudah, jadi kita kena kerja kuat.

“Ramai nak jumpa, beri cadangan untuk membawa perubahan ke Sungai Buloh,” katanya kepada pemberita selepas Walkabout di Kampung Paya Jaras Hilir, hari ini.

Khairy Jamaluddin beramah mesra dengan penduduk semasa mengadakan walkabout sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Paya Jaras Hilar, Sungai Buloh, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 04 NOVEMBER 2022.

Diminta mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa kerusi Parlimen Sungai Buloh adalah kerusi selamat buatnya, Khairy enggan mengulas lanjut.

Sebaliknya, beliau berikrar untuk bekerja bersungguh-sungguh untuk menang.

“Saya akan berusaha bersungguh-sungguh dan jumpa pengundi untuk kempen. Insya Allah,” ringkasnya.

Selepas tiga penggal menjadi penyandang Parlimen Rembau, Khairy kali ini dicalonkan di Sungai Buloh yang selama tiga penggal disandang oleh Sivarasa Rasiah dari PKR.

Kali ini, Khairy akan berdepan dengan Timbalan Ketua Penerangan parti itu,  Datuk R Ramanan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast