TASEK GELUGOR – “Adakah pengundi Tasek Gelugor rela dipertanggungjawabkan sekiranya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kembali menguasai Putrajaya sekali lagi,”.
Demikian soal calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan susulan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa akan menjadi Perdana Menteri pada 20 November ini jika Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas kerusi Tasek Gelugor dan Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Apa yang akan kita jawab jika kita disoal siapakah yang membuka ruang untuk dua parti berfahaman kiri ini mengubah hala tuju pentadbiran Malaysia?
“Sanggupkah warga Tasek Gelugor menjadi asbab kepada terpesongnya kerangka yang menjadi asas pembentukan Malaysia sejak sekian lama?” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Semalam ketika berucap pada Jelajah Mega Harapan di Tapak Ekspo Seberang Jaya, dekat sini, Presiden PKR itu dilaporkan berkata, PH akan diangkat sebagai Kerajaan Pusat dan beliau akan mengangkat sumpah jawatan PM pada 20 November ini sekiranya berjaya menawan Kepala Batas dan Tasek Gelugor.
Selain itu, Wan Saiful turut meminta pengundi Tasek Gelugor menolak calon PH daripada Parti Amanah Negara (Amanah) yang hanya merupakan proksi kepada Anwar dan DAP.
“Warga Tasek Gelugor berhak mendapat wakil rakyat yang akan berkhidmat untuk Tasek Gelugor. Bukan proksi ‘pak turut’ yang hanya mahu berkhidmat untuk Anwar dan DAP sahaja.
“Warga Tasek Gelugor berhak mendapat kerajaan yang telus dan terbaik untuk negara kita. Bukan benarkan mereka yang menguasai Pulau Pinang hari ini merampas Putrajaya pula selepas ini.
“Saya harap pengundi Tasek Gelugor akan mengekalkan PN di kerusi ini pada PRU15 agar dapat membawa dasar baik demi menjadikan Malaysia sebuah negara yang prihatin, stabil dan bersih,” katanya. – MalaysiaGazette
















