Ketua Wira Perkasa, Burhanuddin Ruslan

KUALA LUMPUR – Wira Perkasa Malaysia menyambut baik keputusan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk tidak menerima kemasukan pelajar yang menggunakan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Ketuanya, Burhanuddin Ruslan berkata, ini kerana sijil UEC tidak selari dengan Dasar Pendidikan Negara (DPN).

“Kita mengucapkan terima kasih, tahniah dan setinggi penghargaan kepada menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan keputusan itu.

“Kita menyanjung tinggi dengan ketegasannya yang bukan sahaja menolak sijil UEC, tetapi yang tersiratnya beliau telah mempertahankan Keluhuran Perlembagaan negara dan dasar pendidikan sebagaimana termaktub dalam DPN,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Semalam, Ismail Sabri dilaporkan berkata, kementeriannya tidak akan mengiktiraf dan menerima mana-mana pelajar yang menggunakan sijil UEC.

Kata beliau yang dipetik Utusan Online, bukan sahaja tidak diterima masuk ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL), tetapi semua institusi pengajian di bawah kementeriannya termasuk Universiti Agrosains, Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM) dan Universiti Majlis Amanah Rakyat (UniMara).

Sebelum ini, Ketua Biro Pendidikan Pemuda MCA, Lim Xing Hao membidas Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang mengeluarkan kenyataan mengenai pengiktirafan UEC.

Beliau mendakwa, sijil UEC telah diiktiraf pelbagai universiti terkemuka di seluruh dunia termasuk Universiti Harvard dan Universiti Oxford.

Menurut Burhanuddin, jika ramai pemimpin memahami aspirasi negara dan menghayati prinsip Rukun Negara seperti Ismail Sabri, Wira Perkasa percaya perpaduan dan kesejahteraan rakyat akan terjamin, selain negara terus dapat dipacu dengan adil lagi saksama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast