KUALA LUMPUR – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) disarankan supaya mencari produk juara pertanian negara untuk menembusi pasaran pertanian antarabangsa.
Menteri Pertanian dan Industri Asas tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ia merupakan salah satu usaha untuk mengurangkan kebergantungan negara dalam pengimportan makanan sekaligus mengimbangkan eksport dan import produk pertanian negara.
“Nafas sebagai peneraju pertanian dalam sektor perladangan, penternakan dan nelayan harus menjadi agen penggerak trend untuk menggerakkan keupayaan produknya supaya mudah menembusi pasaran serantau selain menumpukan fokus pada penerokaan teknologi pertanian yang baharu.
“Dengan melihat pada kedudukan urusniaga kewangan mereka yang direkodkan bagi tahun 2016 iaitu sebanyak RM1.20 bilion, saya yakin Nafas boleh mempunyai keupayaan untuk menyahut cabaran ini dan menjadi juara pertanian menjelang 2020,” katanya dalam ucapan di Majlis Makan Malam Nafas dan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-44 Pertubuhan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra malam tadi.
Beliau berkata Nafas serta kesemua Pertubuhan Peladang dan ternakan di bawah agensi itu perlu mencontohi beberapa negara Eropah yang mempunyai jenama produk pertanian yang popular dan menguasai pasaran pertanian dunia.
Katanya, perkembangan ini harus dipertimbangkan secara serius oleh semua agen penggerak pertanian khususnya Nafas dalam membantu kerajaan mengurangkan pengimportan produk makanan.
“Jika kita lihat perkembangan terbaharu, kita mengimport produk makanan bernilai RM40 bilion dan nilai eksport hanya sekitar RM20 bilion.
“Senario ini ternyata memberi impak kepada sektor pertanian khususnya ekonomi negara sehingga nilai mata wang terjejas sedikit.
“Maka mengambil kira hakikat ini, kerajaan menggalakkan pencarian sumber kekayaan baharu dalam bidang pertanian supaya bagi mengimbangi eksport dan import negara dalam sektor itu.
“Jika kita lihat pada sumbangan dan segala usaha Nafas, ia sentiasa mendampingi dan menyumbang kerajaan dalam situasi sukar untuk terus memastikan penggiat pertanian tidak tercicir dari pandangan kerajaan,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette
















