JOHOR BAHRU – Dua pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang telah dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru selepas pemeriksaan rutin mendapati mereka positif Tuberculosis (TB).
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Dr. Durrishah Idrus berkata, bagaimanapun, dua pelajar prasiswazah warga tempatan itu sudah dibenarkan kembali ke UTM bagi meneruskan pengajian sambil menjalani rawatan yang dibekalkan oleh hospital.
Menurutnya, mereka kini dipantau oleh Pusat Kesihatan UTM, diberi ubat dan rawatan, selain dikehendaki membuat pemeriksaan berkala untuk menilai perkembangan semasa pelajar berkenaan.
“Bagi memastikan tiada pelajar lain yang dijangkiti penyakit berkenaan, Pusat Kesihatan UTM akan mengadakan saringan terhadap pelajar yang berhubung secara rapat dengan pesakit, terutama di fakulti dan rakan sebilik.
“Ibu bapa juga tidak perlu bimbang kerana pesakit TB akan sembuh dengan mengambil ubat secara berterusan dan pengawasan secara dekat oleh Pusat Kesihatan UTM,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, pada masa sama, bagi memastikan semua pelajar berada pada tahap kesihatan yang baik, UTM mengambil langkah proaktif dengan membuat saringan terhadap semua pelajar supaya mereka tidak mengidap penyakit yang boleh berjangkit.
Beliau berkata, pelajar yang batuk berkahak lebih dua minggu dan demam terutama pada sebelah malam sahaja dinsihatkan membuat pemeriksaan di Pusat Kesihatan UTM. – MalaysiaGazette
















