Keadaan sebuah kafe di St Petersburg yang musnah dalam letupan. foto Ukraine News24

MOSCOW – Sebuah kafe di St Petersburg musnah dalam letupan pada hari Ahad, membunuh seorang penulis blog tentera terkenal dan penyokong kuat perang di Ukraine, Vladlen Tatarsky.

Beberapa laporan mendakwa bom telah tertanam dalam patung blogger yang diberikan kepada Tatarsky sebagai hadiah.

Tatarsky, terbunuh ketika dia mengetuai perbincangan di kafe yang terletak di tebing Sungai Neva di pusat bersejarah St. Petersburg.

Kejadian itu turut mengakibatkan 25 orang cedera dengan 19 orang daripada mereka dimasukkan ke hospital, menurut gabenor wilayah, Alexander Beglov.

Media Rusia dan penulis blog tentera berkata, semasa kejadian Tatarsky sedang bertemu dengan orang ramai apabila seorang wanita membawa ukiran wajah mangsa dalam sebuah kotak yang kemudiannya meletup.

Dalam kenyataan yang dirakam dalam video, seorang saksi wanita yang mengenalkan dirinya sebagai Nastya bertanyakan soalan dan saling bercakap dengan Tatarsky semasa perbincangan tersebut.

Saksi itu, Alisa Smotrova, sebelum bertemu, Nastya mendakwa telah membuat ukiran penulis blog itu tetapi pengawal memintanya meninggalka ukiran tersebut depan pintu, mengesyaki ia mungkin bom.

Nastya dan Tatarsky bergurau dan ketawa. Dia kemudian pergi ke pintu, lalu mengambil ukiran dan menyerahkannya kepada Tatarsky.

Dia dilaporkan meletakkan patung itu di atas meja berhampiran, dan letupan itu pun menyusul.

Smotrova menyifatkan orang ramai berlari panik, ada yang cedera akibat kaca pecah dengan berlumuran darah.

Video yang disiarkan pada saluran aplikasi pemesejan Rusia menunjukkan kafe itu selepas letupan.

Meja dan kerusi bersepai dan lokasi itu berlumuran darah, serta serpihan kaca bersepah di atas lantai.

Media Rusia berkata, penyiasat sedang melihat patung itu sebagai kemungkinan sumber letupan tetapi tidak menolak kemungkinan bahan letupan ditanam di kafe sebelum kejadian.

Jawatankuasa Penyiasatan Rusia, agensi penyiasatan jenayah tertinggi negara itu, membuka siasatan atas tuduhan membunuh.

Tiada siapa yang mengaku bertanggungjawab secara terbuka, tetapi penulis blog tentera dan pengulas patriotik segera menuding jari ke arah Ukraine dan membandingkan pengeboman itu dengan pembunuhan Darya Dugina pada Ogos lalu.

Dugina seorang pengulas TV nasionalis terbunuh apabila alat letupan kawalan jauh yang ditanam di dalam kenderaan sport utiliti miliknya meletup ketika dia memandu di pinggir Moscow. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast