
KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, membidas tindakan fitnah yang dibuat terhadap mufti-mufti demi kepentingan politik.
Sambil menyifatkan ia sebagai tindakan tidak wajar dan merendahkan martabat mufti, Azmin pada masa sama mendesak pihak tertentu tanpa menyebut nama individu untuk bertaubat dan menghentikan sandiwara politiknya.
“Tidak wajar mana-mana individu mempersendakan dan memperlekehkan mufti kerana kepentingan politik.
“Kita boleh berbeza pandangan tapi jangan aibkan orang lain.
“Memfitnah mufti adalah satu tindakan keterlaluan. Taubat nasuha. Hentikan sandiwara,” kata Azmin dalam mesej Twitter pada Sabtu.
Beliau tidak menamakan pihak terbabit namun mengeluarkan kenyataan menerusi Twitter selepas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad menyelar mufti-mufti kerana gagal menegur PAS yang didakwanya mengkafirkan sesiapa yang tidak menyertai parti itu.
Dr Mahathir ketika ucapan penggulungan Perhimpunan Agung PPBM berkata, mufti sepatutnya menegur amanat yang dikeluarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada tahun 1981 yang didakwa mendorong penyokongnya menentang Umno dan Barisan Nasional (BN) dengan keganasan seperti peristiwa Memali pada tahun 1985.
Pengerusi Pakatan Harapan itu turut mendakwa sikap berdiam diri mufti ini juga telah menyebabkan Amanat Hadi yang semakin menghangatkan polemik isu kafir mengkafir, sehingga mencetuskan tragedi Memali. -MalaysiaGaZette















