Asyraf Wajdi (tengah) pada sidang media selepas menyempurnakan Persidangan Antarabangsa Aeroangkasa, Pengurusan Penerbangan dan Rantaian Bekalan Global (ICAAMGS 2023) di sini, hari ini.

PUTRAJAYA – Kadar kebolehpasaran pekerjaan graduan yang menyertai program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah kendalian Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (UniKL) mencecah hampir 100 peratus.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ketika ini lebih 1,800 pelajar mengikuti program TVET berkemahiran tinggi di institusi berkenaan yang merupakan sebuah institusi pendidikan terkehadapan melatih anak muda menyertai industri aeroangkasa terutamanya dalam konteks MRO (penyelenggaraan, pembaikan, baik pulih).

Katanya, kebanyakan pelajar yang melanjutkan kemahiran menerusi TVET ditunggu-tunggu oleh industri untuk bekerja terus di lapangan meskipun mereka belum lagi habis belajar.

“Sebab itu kita galakkan lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) supaya jangan hanya melihat kepada bidang konvensional misalnya undang-undang, arkitek, perakauanan, kedoktoran. Mereka perlu melihat dalam bidang sains yang lebih luas lagi TVET ini.

“TVET konteks dunia suatu fenomena baharu tetapi, menjanjikan pulangan yang lumayan bahkan, lebih lumayan daripada profesional yang biasa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Persidangan Antarabangsa Aeroangkasa, Pengurusan Penerbangan dan Rantaian Bekalan Global (ICAAMGS 2023) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajidi berkata, apa yang paling penting masyarakat membuka minda dengan melihat TVET yag berskala dan berkemahiran tinggi sebagai bidang yang perlu diisi oleh anak-anak muda khususnya orang Melayu dan Bumiputera.

Ujarnya, perkara tersebut menjadi fokus MARA pada ketika ini dan diharap dapat disambut oleh mereka yang mahu melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran tinggi.

“Ia (UniKL) mewujudkan ekosistem pembelajaran supaya pelajar-pelajar ini bukan sahaja terdedah dengan ilmu tetapi budaya, etika dalam suasana aero angkasa sebenar.

“Maknanya, Siapa sahaja yang mengikuti program ini mereka berupaya untuk masuk ke dalam industri dan mempunyai kemahiran dan terbiasa dengan suasana sebenar dalam industri,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast