APMM menahan seorang lelaki bersama 1.5 tan benih kerang yang dipercayai untuk seludup keluar ke Thailand.

ALOR SETAR – Maritim Malaysia (APMM) mengagalkan cubaan seorang lelaki tempatan menyeludup 1.5 tan benih kerang ke Thailand semalam.

Pengarah Maritim Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata,  lelaki berkenaan ditahan pada jam 4.14 petang bersama sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran di 0.5 batu nautika timur pesisir Padang Keria, Sanglang.

Jelasnya, bot fiber berkenaan dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan selain cuba memecut laju selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, tindakan lelaki itu gagal selepas dia ditahan anggota APMM yang sedang menjalankan rondaan rutin Op Aman perairan Kuala Kedah.

Benih kerang yang dirampas.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan 100 guni berisi benih kerang dan siasatan awal juga mendapati lelaki itu dalam perjalanan menuju ke sempadan negara menyeludup masuk barang itu ke Thailand.

“Secara keseluruhan bahan rampasan termasuk benih kerang serta bot itu dianggarkan bernilai RM80,000,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Noor Azreyanti, lelaki berkenaan dan barang rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan, Perkara 4(3) Peraturan Perikanan (Pemulihan dan Kultur Kerang 2002) dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menegaskan APMM akan menggandakan operasi dan pemantauan di sepanjang perairan negara dari semasa ke semasa bagi membendung sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang terutamanya menjelang perayaan Aidiladha. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast