PUTRAJAYA – Ketidakhadiran Anthony Loke Siew Fook dalam Jelajah Mega Madani Selangor semalam tidak membuktikan hubungan pemimpin DAP itu tegang dengan UMNO susulan kenyataan kontroversi Tony Pua.
Sebaliknya Loke menegaskan, hubungan DAP khususnya beliau sendiri dengan pemimpin UMNO dalam Kerajaan Perpaduan masih baik dan akrab.
Beliau menjelaskan, ketidakharian ahli Parlimen Seremban itu susulan masalah kesihatan selepas menghadiri banyak program kerajaan termasuk bersama Perdana Menteri semalam.
“Semalam saya tak sihat selepas program, saya balik rehat, supaya boleh berjalan dengan lebih jauh.
“Ada jemputan tapi saya tak sihat, saya mandatkan kepada Gobind Sigh sebab beliau ada dalam program itu semalam.
“Semalam saya selepas beberapa program dan saya bersama PM di Nilai semalam.
“Selepas program di USIM, saya agak tidak sihat, jadi saya terpaksa balik rehat untuk program pada hari ini dan seterusnya,” katanya pada sidang media di Marina Putrajaya, di sini, hari ini.
Selain Loke, pemimpin Barisan Nasional (BN) Selangor juga tidak terbabit dalam Jelajah Mega Madani Selangor yang diadakan Pakatan Harapan (PH), malam semalam.
Sebelum ini, menerusi hantaran akaun Facebook rasmi PH, Jelajah Mega Madani Selangor menampilkan pimpinan utama PH dan BN yang akan bekerjasama dalam PRN.
Selain Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pemimpin lain antaranya Setiausaha Agung DAP itu dan Ketua PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Mengikut aturcara dikeluarkan penganjur, jelajah itu akan dimulai dengan pelancaran jentera pilihan raya PH dan BN. – MalaysiaGazette
















