GEORGE TOWN – “Kita sudah perjelaskan pemanduan di luar negara tertakluk kepada undang-undang negara tersebut dan kita tak boleh minta mereka terima cara (pelaksanaan lesen secara digital) kita”.

Demikian jelas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berhubung video tular dua lelaki Malaysia meluahkan rasa tidak puas hati apabila dikenakan tindakan saman oleh pihak berkuasa Thailand meskipun sudah mempamerkan lesen memandu digital yang dimiliki mereka.

Menurut beliau, kerajaan memperkenalkan konsep pendigitalan JPJ daripada segi lesen dan cukai jalan itu untuk mengurangkan kesesakan di pejabat dan kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Bagaimanapun pemberian lesen secara fizikal tidak diberhentikan dan ia masih diberikan oleh pihak JPJ sekiranya individu berkenaan memerlukannya.

“Lesen digital yang kita perkenalkan sudah tentu untuk negara kita tak ada masalah termasuk dari segi penguatkuasaan tiada saman akan dikenakan.

“Bagaimanapun, apabila seseorang itu ke luar negara sudah tentu dia tertakluk pada undang-undang negara tersebut dan sekiranya memerlukan lesen fizikal bagi pemanduan di luar negara dia boleh dapatkannya daripada JPJ ketika memperbaharui lesen.

“Ini sesuatu yang saya rasa orang ramai perlu tahu bahawa kita tak ada bidang kuasa untuk menentukan cara pelaksanaan di negara lain umpamanya di Thailand, kalau mereka perlukan lesen fizikal itu bidang kuasa mereka,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah Anthony, kerajaan tidak boleh meminta mana-mana negara lain untuk menerima pelaksanaan konsep pendigitalan JPJ kerana setiap negara mempunyai undang-undang sendiri.

Semalam tular, dua  lelaki warga Malaysia meluahkan rasa tidak puas hati apabila dikenakan tindakan saman oleh pihak berkuasa Thailand meskipun sudah mempamerkan lesen memandu digital yang dimiliki mereka.

Menerusi perkongsian di Twitter Acapkay, dia menjelaskan situasi tersebut yang dialami bersama rakannya selepas ditahan ketika menunggang motosikal di sebuah daerah dalam negara terbabit.

Sebelum ini, Anthony mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menurunkan notis yang mengatakan pihaknya tidak mengeluarkan cukai jalan kenderaan persendirian secara fizikal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast