Nushi Mahfodz.- Foto WAN NABIL NASIR, 08 OGOS 2023.

SEMENYIH – Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Nushi Mahfodz menepis ‘cakap-cakap’ mendakwa kempennya tidak dibantu oleh jentera dari parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau yang merupakan calon dari parti Pas itu menegaskan, kempennya mendapat kerjasama yang sangat luar biasa daripada Bersatu malah turut dibantu oleh jentera parti Gerakan.

Beliau mengakui mendengar cakap-cakap sedemikian namun apa yang diperkatakan adalah sebaliknya.

“Di Semenyih ini, saya sangat seronok. Memang stigma itu ada tapi, alhamdulillah sepanjang kita berkempen ini mereka (parti gabungan PN) banyak membantu,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di sini hari ini.

Nushi berkata, banyak program-program yang dihadiri diatur oleh Bersatu serta Gerakan dan tidak timbul isu Pas keseorangan semasa.

Tambah beliau, tanggapan sesetengah pihak bahawa Pas sahaja yang berkempen di Semenyih untuk calonnya adalah tidak tepat kerana kerjasama yang diberikan oleh setiap jentera parti gabungan adalah memberangsangkan.

Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi DUN Semenyih menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dengan PN.

Nusi yang merupakan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan berlawan dengan calon BN iaitu bekas pegawai bank, Wan Zulaikha Anua.

Sebelum ini, DUN Semenyih disandang oleh Zakaria Hanafi dari BN setelah merampas kerusi itu daripada PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Mac 2019.

Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor.

Zakaria menewaskan pencabarnya, Mohammad Aiman Zainali (PH) yang memperoleh 17,866 undi, sementara calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul (847 undi) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng atau ‘Uncle Kentang’ memperoleh 725 undi.

DUN Semenyih memiliki seramai 53,520 pengundi biasa manakala 109 orang lagi merupakan pengundi tidak hadir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast