KUALA LUMPUR – Sindiket pemalsuan dokumen didalangi warga Afrika tumpas dalam satu operasi khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di ibu kota pada 25 Oktber lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, dalang utama sindiket tersebut merupakan lelaki warganegara Nigeria berusia 46 tahun yang ditahan di Kajang.
“Operasi yang bermula pada 10 pagi ini melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Ruslin, tangkapan berkenaan membawa kepada rampasan sebanyak 10 nashkah pasport Nigeria disyaki palsu serta sekeping pelekat pas pelajar palsu yang ditemui di kediamannya di Jalan Chan Sow Lin.
Ruslin berkata, lelaki itu mendedahkan pelekat pas pelajar tersebut diperoleh daripada seorang lelaki warganegara Ghana yang kemudian ditahan di Jalan Kasturi.
Jelas beliau, tangkapan lelaki Ghana itu membawa kepada rampasan dua keping lagi pelekat pas pelajar palsu, enam keping i-kad JIM palsu, sekeping Kad UNHCR palsu dan tujuh keping Kad Pelajar pelbagai universiti serta kolej di sekitar Lembah Klang di kediamannya di Cheras.
Ruslin berkata, sindiket tersebut menyasarkan warga Afrika yang mempunyai masalah di negara ini seperti tiada dokumen pengenalan diri dan visa.
“Sindiket akan mencari dan menghampiri mereka yang bermasalah ini dan kemudiannya menawarkan perkhidmatan untuk menyediakan dokumen seperti pasport, Pas Pelajar, Pas Penggajian, i-Kad, kad UNHCR dan kad pelajar palsu.
“Siasatan awal mendapati sindiket mengenakan bayaran sekitar RM1000 bagi setiap naskah pasport dan bayaran RM200 sekeping untuk lain-lain dokumen seperti pas pelajar dan kad pelajar,” ujarnya.
Sementara itu kedua-dua lelaki itu ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – MalaysiaGazette
















