Pelarian Kristian Syria akan diberi keutamaan di Amerika Syarikat. Foto Agensi

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengharamkan kemasukan pelarian Syria di negara itu, antara langkah-langkah yang diambil bagi menangani pengganas radikal Islam.

Pengharaman itu terkandung dalam perintah eksekutif yang ditandatangani beliau selepas majlis bersumpah dalam Gen James Mattis sebagai setiausaha pertahanan.

Trump juga mengehadkan sebanyak 50,000 pelarian memasuki Amerika Syarikat pada tahun 2017 – kurang daripada separuh had sebelumnya.

Bagaimanapun, keutamaan tetap diberikan kepada penganut Kristian Syria yang memohon status pelarian pada masa akan datang.

“Saya melaksanakan langkah-langkah ini untuk memastikan pengganas radikal Islam keluar dari Amerika Syarikat. Kami hanya mahukan mereka yang akan menyokong negara ini dan sayangkan rakyat kami,” katanya.

Kenyataan perintah yang dikeluarkan beberapa jam selepas ia ditandatangani turut memaklumkan tindakan-tindakan berikut:

◾ Penggantungan Program Kemasukan Pelarian untuk 120 hari
◾ Larangan pelarian dari Syria sehingga “perubahan besar” dibuat
◾ Penggantungan 90 hari ketibaan pelancong dari Iraq, Syria dan negara-negara yang diletakkan dalam kategori ‘membimbangkan’.
◾Mengutamakan aplikasi pelarian masa depan atas dasar penganiayaan berasaskan agama – tetapi hanya jika orang itu adalah sebahagian daripada agama minoriti di negara asal mereka
◾Menetapkan sejumlah 50,000 pelarian pada tahun 2017 – kurang daripada separuh daripada had semasa pemerintahan Obama. – MalaysiaGazette