SEATTLE/BOSTON – Seorang hakim persekutuan di Seattle membenarkan arahan menghalang sementara waktu terhadap tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang melarang warga tujuh negara memasuki AS.

Arahan hakim tersebut merupakan cabaran besar ke atas pentadbiran Trump yang dijangka merayu dengan segera. Hakim itu menolak arahan tersebut dikekalkan, mencadangkan sekatan perjalanan akan dimansuhkan dengan serta merta.

Hakim persekutuan di beberapa negeri juga tertindak bertentangan dengan larangan tersebut sejak ia dikuatkuasakan pada Jumaat lalu namun keputusan James Robart merupakan arahan yang paling ketara setakat ini.

Tentangan itu dibawa oleh negeri Washington disusuli Minnesota. Hakim dari Seattle itu memutuskan negeri-negeri tersebut mempunyai pendirian perundangan untuk menyaman, yang boleh membantu peguam negara membawa Trump ke mahkamah terhadap isu yang melangkau imigresen.

“Ia adalah hari yang sangat baik untuk undang-undang negara ini,” kata peguam bela Washington, Noah Purcell.

Keputusan tersebut dicapai ketika peguam dari empat negeri berada di mahkamah mencabar arahan eksekutif Trump. Pentadbiran Trump membenarkan tindakan itu atas alasan keselamatan negara, bagaimanapun pembangkang melabelkannya sebagai arahan tidak berpelembagaan yang menyasarkan individu berasaskan kepada kepercayaan agama.

Terdahulu, peguan pesekutuan di Boston menolak lanjutan arahan halangan kemasukan sementara yang membenarkan pendatang daripada negara-negara tertentu memasuki AS walaupun Trump telah menghalang mereka menerusi arahan eksekutif.

Semalam, hakim persekutuan di Virginia juga mengarahkan White House menyediakan senarai semua orang yang dihalang daripada memasuki AS disebabkan larangan itu.

Jabatan Negara berkata, kurang daripada 60,000 visa dikeluarkan kepada warga Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yemen sebelum ini tidak sah disebabkan arahan tersebut. Pendedahan itu dilakukan berikutan laporan media bahawa peguam kerajaan menyatakan angkanya sebanyak 100,000.

Hakim daerah di Alexandria, Virginia, Leonie Brinkema mengarahkan kerajaan persekutuan memberi negeri itu senarai ‘semua orang yang telah dinafikan kemasukan ke atau diusir dari AS’ sehingga Khamis ini .

Semalam, Hawaii menyertai tentangan arahan itu, memfailkan saman yang mendakwa arahan berkenaan tidak berpelembagaan dan meminta mahkamah menghalang ia dilaksanakan di seluruh negara.

Arahan presiden baharu dari parti Republican yang ditandatangani pada 27 Januari lalu telah mencetus keadaan huru-hara di lapangan terbang AS pada minggu lalu. Terdapat pengembara di luar negara dihalang menaiki pesawat ke AS, beratus-ratus orang berkumpul di kawasan ketibaan untuk membantah arah itu selain bantahan secara perundangan difailkan di seluruh negara.

Arahan itu juga telah menghentikan secara sementara kemasukan semua pelarian ke negara itu dan menghentikan penempatan semula pelarian Syria sehingga dimaklumkan kelak.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri telah mengeluarkan penjelasan tambahan yang menyatakan tiada perancangan untuk memperluaskan arahan itu melebihi tujuh buah negara terlibat. – Reuters/AFP