Dr. Daroyah

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pihak tertentu, bahawa terdapat lokaliti virus misteri mula merebak di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga negeri, Dr. Daroyah Alwi menjelaskan, pihaknya telah menghantar pasukan pakar ke kawasan yang didakwa dan mendapati tidak terdapat sebarang petanda wujud virus misteri seperti dikatakan.

Bahkan, katanya, sebaran senarai Lokaliti Wabak Semasa Daerah Hulu Langat yang cuba dikaitkan dengan virus berkenaan juga tidak benar.

“Saya minta penduduk di Selangor khususnya di Kajang agar tidak panik dengan dakwaan itu. Virus misteri yang digembar gembur pihak tertentu tidak pernah ada. Ia hanya maklumat mengenai denggi,” katanya menerusi Twitter beliau semalam.

Pada Khamis minggu lalu, seramai 40 ahli keluarga dari Tanah Merah, Kelantan, selepas bercuti di Kajang, Selangor telah dikuarantin di hospital kerana disyaki diserang ‘virus misteri’.

Serangan virus itu meyebabkan seorang daripada ahli keluarga berkenaan, yang berusia 59 tahun, meninggal dunia dan dua lagi kritikal.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dilaporkan berkata, tiga individu berkenaan disahkan mengalami jangkitan kencing tikus (leptospirosis), dan siasatan masih dijalankan untuk mengetahui tempat mereka terkena jangkitan itu.

Dr. Daroyah menasihatkan orang ramai agar berhati-hati kerana jangkitan kencing tikus boleh membawa maut dan tiada ubat khusus dapat mengubatinya. – MalaysiaGazette