Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berucap pada Majlis Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat, Skim Peduli Sihat dan Peduli Siswa di Stadium Kajang, Selangor. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 28 FEBRUARI 2017.

KAJANG – Isu tanah perkuburan Cina di Bukit Cerakah, Shah Alam yang dibantah oleh penduduk Islam di perumahan berhampiran tanah itu akan dirujuk ke perhatian Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau telah mengarahkan Majlis Daerah yang terlibat untuk mengemukakan laporan lengkap berhubung isu tanah itu.

“Saya mendapat laporan awal setelah mendapat memorandum dari segelintir individu yang membantah (pembangunan tapak perkuburan Cina di kawasan perumahan penduduk Islam).

“Namun kami masih memberi perhatian sewajarnya dalam isu ini dan telah meminta pihak berkuasa tempatan berkaitan menyediakan laporan berkaitan perkara ini.

“Apabila siap, kita akan bawa perkara ini ke MTES dalam mesyuarat akan datang untuk melihat merit bantahan itu,” katanya ketika ditanya pemberita di sini.

Beliau bercakap dalam sidang media Pelancaran Skim Peduli Sihat dan Peduli Siswa 2017 Daerah Hulu Langat pagi tadi.

Dalam perkara sama, Mohamed Azmin berkata, beliau juga akan memberikan penjelasan mengenai perkara ini kepada kumpulan yang membuat bantahan itu.

Sebelum ini, kira-kira 300 penduduk mewakili lima buah kampung membantah cadangan projek pembinaan tanah perkuburan Cina di Kampung Bukit Cerakah di sini.

Mereka mendakwa lokasi yang dicadangkan untuk pembinaan kubur itu disifatkan tidak sesuai selain mendakwa terletak di tengah lima kampung yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Lima kampung yang membantah projek itu ialah Kampung Felda Bukit Cherakah, Kampung Bukit Kapar Tambahan, Kampung Bukit Hijau, Kampung Bukit Kerayong dan Bandar Puncak Alam.- MalaysiaGazette