Hamzah Zainuddin

SUBANG JAYA – Kerajaan mengingatkan Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Malaysia (PKS) agar tidak terlalu menaruh harapan kepada Perjanjian Trans Pacific Asean (TPPA) untuk melebarkan perusahaan masing-masing.

Sebaliknya, mereka digalakkan mengambil kesempatan Zon Bebas Perdagangan Digital (ZBPD) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bulan lalu sebagai cabang untuk PKS meluaskan perniagaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, bagi menjadi pemangkin pertumbuhan kepada PKS, kerajaan juga telah melancarkan Pelan Induk Industri Kecil dan Sederhana pada lima tahun lalu dengan menyediakan sebanyak 32 inisiatif termasuk enam program berimpak tinggi.

Katanya, salah satu program berimpak tinggi ialah Going Export (GoEx), yang mana kerajaan menawarkan bantuan khas yang bersesuaian kepada pengeksport dan PKS untuk menceburi pasaran baru.

“Walaupun masa depan TPPA tidak menentu, PKS di Malaysia tidak harus digalakkan memasar dan mengeksport produk mereka ke luar negara.

“Mereka digalakkan mengambil kesempatan daripada ZBPD yang diwujudkan dengan kerjasama Alibaba Group serta Malaysia Ekonomi Digital Corporation (MDEC).

“Objektif utama ZBPD adalah untuk menggalakkan pertumbuhan e-dagang dalam kalangan PKS untuk menjalankan perniagaan dengan pengasas Alibaba, Jack Ma dilantik sebagai penasihat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Anugerah Platinum Perniagaan anjuran Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Malaysia di sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden PKS, Datuk Michael Kang dan Pengerusi Penganjur Anugerah Platinum Perniagaan, Datuk Seri Dr. Ricky Yaw.

Menurut Hamzah, ZBPD adalah sebahagian daripada hala tuju strategik negara yang bertujuan untuk mengandakan pertumbuhan e-dagang Malaysia dari 10.8 peratus kepada 20.8 peratus pada 2020.

Lebih kata, kata beliau, program itu akan membolehkan PKS menarik minat generasi baharu menyertai perniagaan, sekali gus boleh akses untuk pasaran dunia dengan mengurangkan halangan perdagangan.

“Pengeksport PKS kita mungkin mahu menggunakan ZBPD sebagai platform untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran China.

“Pada saya, ini adalah berita baik untuk pengeksport buah-buahan tempatan seperti durian dan produk yang berkaitan dengan buah-buahan kegemaran rakyat di China,” katanya.

Beliau berkata, selain ZBPD, PKS negara ini juga terlibat dalam perniagaan di bidang pembuatan dan pembinaan, yang mana mereka boleh mengambil kesempatan ke atas China, ketika hubungan Malaysia semakin erat dan baik. – MalaysiaGazette