Remaja perempuan yang mencetuskan kegemparan kerana memandu melawan arus sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki dibebaskan dan dilepaskan atas pertuduhan mengambil dadah.

BUKIT MERTAJAM – Remaja perempuan yang mencetuskan kegemparan kerana memandu melawan arus sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki dibebaskan dan dilepaskan atas pertuduhan mengambil dadah.

Keputusan itu dibuat Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas ujian air kencing terhadap Ng Pei Ven, 19, didapati negatif.

Sehubungan itu, Majistret Jamaliah Abd. Manap turut memerintahkan wang jaminan berjumlah RM5,000 dipulangkan.

Bagaimanapun, bagi pertuduhan kedua iaitu memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian, Jamaliah menetapkan 5 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam kejadian awal pagi 15 Mac lalu di Km 134, Lebuhraya Utara-Selatan itu, seorang remaja perempuan yang memandu kereta jenis Proton Gen-2 secara melawan arus dari Sungai Dua menghala Butterworth di sini, melanggar bahagian hadapan kereta Perodua Kelisa yang dipandu Mohamad Fandi Rosli, 26, menyebabkan mangsa terbunuh.

Remaja itu memandu secara melawan arus sejauh lima kilometer sebelum melanggar kereta dipandu Mohamad Fandi dalam kemalangan yang turut melibatkan enam kenderaan dengan lima individu cedera.

Berdasarkan keterangan saksi, remaja terbabit dilapor membuat pusingan U di laluan yang sama kira-kira 100 meter daripada Plaza Tol Sungai Dua sebelum bergesel dengan tiga kenderaan lain.

Ketika kejadian, remaja itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Dua selepas keluar berhibur di pusat hiburan di Bukit Mertajam bersama rakan-rakannya sejak tengah malam. – MalaysiaGazette