Dr. Ibrahim Ali
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menasihatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerang pembangkang dengan ‘senjata kimia’ dan bukan ‘peluru kapur’ jika tidak mahu tertembak diri sendiri.
Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, tindakan Zahid menyerang asal-usul dan keturunan keluarga Tun Dr Mahathir Mohamad hanya memakan dirinya sendiri kerana ia tidak menyerlahkan sikap sebenar seorang negarawan.
“Sama isu kaum ini, dulu tuduh Perkasa, sekarang ini serangan Zahid Hamidi terhadap Tun M dari segi politik itu, saya rasa dia telah guna peluru kapur.
“Kalau ia pun nak menyerang, dalam dunia politik sekarang ini, saya rasa elok kena pastikan peluru yang nak digunakan itu senjata kimia.
“Bila dia tembak sesiapa, kena pastikan siapa yang ditembak itu mati. Jangan pula bila tembak tapi guna pula peluru kapur, orang yang ditembak tak mati, akhir diri sendiri yang mati,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Perkasa, di sini, hari ini.
Ahad lalu, Zahid yang juga Naib Presiden UMNO mengungkit sejarah asal-usul Mahathir yang didakwa berketurunan India telah mempergunakan orang Melayu selama 22 tahun semasa pentadbirannya.
Zahid turut menunjukkan salinan kad pengenalan bekas Perdana Menteri itu yang terpapar namanya sebagai Mahathir a/l Iskandar Kutty.
Mengulas lanjut, Ibrahim menyifatkan tindakan pemimpin tertinggi UMNO itu sebagai gagal mengawal emosi hingga menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia.
 
“Parti pemerintah tak boleh bersifat seperti pembangkang, kena kawal emosi sebagai pemimpin berjawatan termasuk Perdana Menteri atau Menteri Kabinet sahaja,” ulasnya.
Ibrahim juga mahu Zahid meminta maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia kerana menggunakan isu keturunan Mahathir sebagai modal serangan politiknya.
“Tak rugi minta maaf, selalunya nak pertahankan sesuatu yang tidak betul dan terlanjur kata tak beri kebaikan kepada diri sendiri.
“Perkara peribadi tak harus dijadikan modal politik. Kini masyarakat berilmu, kalau kita beretorik sekali pun tanpa fakta, orang tak boleh terima, lebih-lebih lagi golongan muda,” jelasnya.
Katanya lagi, pemimpin parti pemerintah perlu memastikan sesuatu fakta itu benar terlebih dahulu sebelum membuat serangan ke atas lawan politiknya.
“Bukan sahaja parti yang diwakilinya mendapat penghormatan daripada rakyat bahkan hubungan kita dengan Allah semakin baik,” katanya. – MalaysiaGazette.