Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felda Global Ventures Holding Berhad (FGV), Datuk Zakaria Arshad kelihatan tersenyum ceria ketika keluar ke lobi Menara Felda selepas menghadiri proses siasatan dalam berhubung kemelut urus tadbir FGV. foto SAFWAN MANSOR, 11 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – “Saya serahkan kepada kebijaksanaan ahli lembaga pengarah dan pengerusi yang baharu,” demikian menurut Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV), Datuk Zakaria Arshad mengenai nasibnya selepas Siasatan Dalaman (DI) selesai dan dimuktamadkan hari ini.

Zakaria bersama tiga lagi pegawai kanan FGV diarahkan bercuti tanpa tarikh akhir bagi membolehkan satu DI dijalankan berhubung kelewatan pembayaran sebuah syarikat luar negara, Safitex kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn. Bhd.

“Saya berharap keputusan berpihak kepada saya tetapi jika tidak, saya kena terimalah,” katanya yang tetap berwajah ceria dan tidak putus-putus menguntumkan senyuman.

Kemunculan Zakaria kira-kira jam 10 pagi tadi mengundang teka-teki para wartawan yang membuat liputan hari pertama Pengerusi baharu syarikat tersebut, Datuk Azhar Abdul Hamid.

Ketika ditanya, Zakaria berkata, beliau masih belum berkesempatan bertemu Azhar bagaimanapun mengalu-alukan pelantikan beliau yang dijangka bakal membawa perubahan positif kepada FGV.

Mesyuarat ahli lembaga pengarah FGV yang akan dipengerusikan Azhar pada jam 3 petang ini akan membuat keputusan mengenai status Zakaria selepas mendapat laporan daripada panel DI. -MalaysiaGazette