Seorang pengawas peperiksaan mengawasi murid Darjah 6 yang sedang menjawab kertas Bahasa Melayu ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pada hari pertama Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan (2) Taman Selayang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 10 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berpandangan bahawa adalah menjadi hak asasi bagi setiap murid untuk diberi tumpuan yang adil sekali gus menjaga emosi dan perasaan mereka dengan rapi.

Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock berkata, perkara itu merujuk kepada kenyataan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mahu pihak sekolah meraikan semua calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang akan diumumkan esok, bukan hanya tertumpu kepada murid memperoleh semua A.

“Sekiranya hanya murid yang memperoleh 6A sahaja yang diraikan, manakala murid yang menunjukkan peningkatan cemerlang bagi mata pelajaran tertentu tidak diraikan, sudah tentu murid tersebut akan berasa hampa dan kecewa.

“Ini kerana perjalanan mereka dalam bidang pendidikan masih jauh lagi,” kata Tan dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mahdzir ketika membuat kenyataan itu baru-baru ini juga menegaskan bahawa segala usaha dilakukan murid dan guru perlu diraikan secara keseluruhannya, bukan secara terpilih atau berkumpulan.

Mengulas lanjut, Tan berkata, saranan Mahdzir itu sekali gus dapat mengelak timbul perasaan kecewa serta wujud kumpulan yang menganggap keputusan ‘A’ adalah segala-galanya.

“Contohnya, murid yang berada di kelas hujung dan sering kali gagal dalam mata pelajaran Matematik tetapi beliau lulus mata pelajaran tersebut dalam UPSR namun tidak diraikan. Perkara itu sudah tentu mengecewakan murid berkenaan apabila peningkatan itu tidak dipandang atau diraikan,” katanya. –Bernama