Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Nampaknya Parti Amanah Negara (PAN) digelar tidak amanah oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ini semua gara-gara pimpinan PAN Selangor yang mendakwa perbincangan Pakatan Harapan (PH) mengenai pembahagian kerusi belum bermula.

Dalam laporan Malaysiakini, Mohamed Azmin yang juga Pengerusi PH menempelak PAN ‘berbohong’ dengan mengatakan jawatankuasa rundingan kerusi untuk negeri itu masih belum lagi dibentuk.

Beliau berkata jawatankuasa itu telah bertemu sebanyak empat kali.

“AMANAH berbohong…AMANAH tidak mengatakan yang benar, AMANAH tidak amanah.

“Bolehkah AMANAH paling kurang memberitahu orang ramai duduk perkara yang sebenarnya? Kita telah bertemu sebanyak empat kali?” kata beliau ketika ditemui selepas merasmikan sebuah masjid baru di Taman Tun Teja, Rawang hari ini.

Mohamed Azmin membuat bidasan ini selepas ditanya sama ada jawatankuasa khas rundingan kerusi HARAPAN yang diumumkan Tun Dr. Mahathir Mohamad itu telah bertemu atau tidak.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin berkata tidak akan ada suatu jawatankuasa khas.

“Biar saya jelaskan…Kami telah bertemu sebanyak empat kali untuk berbincang bukan sahaja pembahagian kerusi tetapi isu-isu lain berkaitan dengan PRU-14. Sudah tentu rundingan kerusi merupakan antara isu utama yang dibincangkan dalam jawatankuasa tersebut.

“Malangnya kami masih belum mencapai persetujuan di kalangan empat parti ini.

“Tetapi sekarang terdapat permintaan, daripada menamakan jawatankuasa pilihanraya negeri Selangor, mereka mahukan ia untuk memfokuskan kepada rundingan kerusi.
“(Jadi) mereka menamakannya sebagai ‘jawatankuasa rundingan kerusi’. Anggota yang sama, anggota parti yang sama, parti yang sama,” jelas beliau.

Menurut Azmin yang juga Menteri Besar Selangor, ‘lebih 80 peratus’ kerusi telahpun diputuskan setakat ini.

“Anda tidak boleh mengharapkan kami memutuskan 100 peratus rundingan kerusi empat bulan sebelum pilihan raya,” katanya.

Mahathir membuat pengumuman berkenaan jawatankuasa khas itu selepas rundingan kerusi PH di Selangor dilaporkan menemui jalan buntu kerana perbezaan pandangan.

Sementara itu, Pengerusi jawatankuasa pilihanraya negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Andalas daripada PKR, Dr. Xavier Jayakumar dan beberapa pimpinan PKR kesal dengan dakwaan PAN.-MalaysiaGazette