PULAU PINANG – Seorang pembantu rumah warga Indonesia ditemui tidak bermaya dengan beberapa kesan kecederaan dipercayai didera di sebuah rumah di Taman Kota Permai 2 di sini petang semalam.

Mangsa berusia 21 tahun dan berasal dari Medan itu ditemui orang awam dalam keadaan lemah di belakang sebuah rumah yang kemudiannya membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, ketika ditemui wanita berkenaan mengalami lebam pada bahagian kepala dan muka serta kecederan luka bernanah pada tangan dan kaki kiri serta kanan.

Ekoran itu, ujar beliau, polis menahan dua beradik masing-masing wanita dan lelaki berumur 36 dan 39 tahun yang dipercayai majikan pembantu rumah berkenaan selepas mereka hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT untuk memberi keterangan pukul 8 malam tadi.

“Kita menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki yang juga pembantu kepada seorang wakil rakyat di Bukit Mertajam yang mendakwa mendapat maklumat mengenai keadaan pembantu rumah berkenaan daripada kenalannya.

“Dia kemudiannya ke rumah berkenaan untuk melihat sendiri keadaan mangsa dan mendapati pembantu rumah itu sedang duduk di kawasan pagar luar rumah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Nik Ros Azhan, lelaki itu kemudiannya cuba mendapatkan penjelasan lanjut daripada penghuni rumah berkenaan iaitu seorang wanita berusia 60-an namun diberi amaran supaya tidak masuk campur.

Bagaimanapun, tambahnya, lelaki itu kemudian menghubungi majikan pembantu rumah tersebut dan memaklumkan akan membuat laporan polis sebelum dua beradik berkenaan hadir ke Balai Polis SPT malam tadi.

“Siasatan awal mendapati pembantu rumah itu bekerja di rumah berkenaan bagaimanapun mangsa masih dalam keadaan trauma dan enggan memberikan keterangan lanjut.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan manakala dua beradik itu direman untuk siasatan,” katanya.