Rafidah Aziz

KUALA LUMPUR – Dakwaan Tan Sri Rafidah Aziz kononnya terdapat sebuah syarikat yang terdiri daripada tiga individu yang mengawal pelaksanaan projek-projek Kementerian Pertahanan
mengikut kaedah land swapping adalah tidak benar.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan menafikan dakwaan veteran UMNO itu kononnya keseluruhan tanah Persekutuan yang digunakan oleh pihaknya dipindah milik kepada sebuah syarikat yang dimiliki oleh tiga individu.

“Secara umumnya, Kementerian Pertahanan telah melaksanakan projek-projek pembangunan melalui pelbagai kaedah termasuklah penswastaan secara land swap.

“Lantikan syarikat-syarikat yang berjaya adalah mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

“Setiap projek pembangunan dilaksanakan oleh syarikat yang berlainan dan tidak mempunyai sebarang kaitan di antara
satu sama lain,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu bagi menjelaskan dakwaan Rafidah melalui Surat Terbuka kepada Perdana Menteri pada 8 April 2018 khususnya
mengenai pemindahan milik tanah Kementerian Pertahanan kepada syarikat swasta.

Secara prinsipnya, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, pelaksanaan projek-projek Kementerian Pertahanan melalui
kaedah land swap merupakan mekanisma yang telah digunapakai dalam rangka model kerjasama awam swasta, PPP (Public Private Partnership) yang telah diselaraskan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

Setiap projek pembangunan melalui kaedah penswastaan secara land swap yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan perlu dibincangkan terlebih dahulu di peringkat Jawatankuasa Kementerian dan Jawatankuasa UKAS sebelum diangkat kepada
Jemaah Menteri untuk mendapat kelulusan prinsip.

Setelah kelulusan prinsip diperoleh, cadangan projek pembangunan tersebut perlu mendapat perakuan daripada
Jawatankuasa UKAS yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah UKAS dan Jawatankuasa Tertinggi Awam Swasta yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, katanya.

“Proses ini melalui pelbagai peringkat dan saringan sebelum dibawa semula ke Jemaah Menteri untuk diteliti satu persatu sebelum kelulusan perlaksanaan.

“Tanah-tanah Kementerian Pertahanan yang terlibat dengan kaedah land swapping dilaksanakan setelah mendapat persetujuan end user seperti Tentera Darat, Tentera Laut Diraja malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

“Pertimbangan penempatan kem-kem mengambil kira lokasi strategik, keselamatan kem, kesesuaian dengan tugas-tugas operasi serta keselamatan penduduk sekitar,” kata kenyataan itu lagi.

Oleh itu, kem-kem tersebut perlu ditempatkan semula di kawasan-kawasan yang lebih sesuai, katanya.- MalaysiaGazette

Surat terbuka Rafidah dakwa Najib swastakan tanah ATM