Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil

KUALA LUMPUR – Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menafikan beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menerusi kenyataannya di Facebook hari ini, Ketua Wanita Barisan Nasional itu berkata, beliau tidak bertanding di situ meskipun yakin kawasan tersebut boleh dimenangi oleh Barisan Nasional (BN).

“Ramai yang tanya saya sama ada saya akan terima tawaran untuk bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak.

“Jawapan saya tidak ,walaupun Bandar Tun Razak adalah satu kawasan di mana Barisan Nasional boleh menang dan tewaskan PKR,” katanya yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kepong.

Shahrizat dikatakan akan bertanding kerusi Parlimen di Bandar Tun Razak pada PRU-14 bagi merampas kerusi yang disandang oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga bekas calon PKR.

Untuk rekod, Bandar Tun Razak merupakan kerusi tradisi buat MCA.

MCA kehilangan kerusi Bandar Tun Razak pada PRU ke-13 yang lalu dengan majoriti besar 11,832 undi. – MalaysiaGazette