Home Nasional Guna nama Muhyiddin bukan Mahiaddin

Guna nama Muhyiddin bukan Mahiaddin

Muhyiddin Yassin

GAMBIR – Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Suruhanjaya Pilihan Raya memastikan ejaan namanya betul.

Permintaan itu dibuat oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu selepas beliau mendapati ejaan namanya di laman sesawang SPR adalah dari MyKad (IC) – ‘Mahiaddin Bin Md Yassin’ dan bukannya ‘Tan Sri Muhyiddin Yassin’, yang telah dipilihnya untuk digunakan pada kertas undi.

“Nama yang saya pilih untuk digunakan adalah apa yang saya gunakan dalam semua pilihan raya sebelumnya.

“Saya hairan mengapa SPR memilih untuk menggunakan nama saya yang lain,” katanya kepada pemberita semasa tinjauan di Bukit Gambir, lapor The Star.

Beliau berkata, ini adalah kali pertama SPR mengeja salah namanya walaupun ia jelas dinyatakan dalam kertas pencalonannya.

Muhyiddin berkata, tindakan oleh SPR akan menyebabkan nama ‘Mahiaddin’ dicetak pada kertas undi.

“Ini akan menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengundi,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau telah mengarahkan wakilnya supaya memberi amaran kepada SPR untuk membuat perubahan yang diperlukan.

“Mereka (SPR) mesti mencetak nama yang telah saya nyatakan untuk kertas undi. Jika tidak, saya akan membuat aduan rasmi mengenai perkara itu,” katanya.

Nama ‘Mahiaddin’ digunakan untuk Parlimen Pagoh dan kerusi DUN Gambir, yang mana dua kerusi Muhyiddin bertanding.

Muhyiddin, penyandang Pagoh, akan menghadapi pertarungan tiga penjuru terhadap calon Barisan Nasional, Ismail Mohamed dan Ahmad Nawfal Mohamed daripada Pas.

Beliau dan Ketua Dewan Syura PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed akan mencabar Ketua MIC Johor, Datuk M Asojan di Gambir. – MalaysiaGazette