Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengambil masa sehingga lima jam untuk mendapatkan keterangan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berhubung siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Ahmad, dalam siasatan itu beliau mengesahkan sejumlah 17 muka surat dokumen berhubung skandal tersebut kepadanya.

“Saya telah jelaskan beberapa perkara yang ditanya kepada saya iaitu sebanyak 17 muka surat.

“Berdasarkan kepada soalan yang dikemukakan dan dokumen yang ditunjukkan kepada saya dan saya mengesahkan dokumen itu,” katanya kepada media.

Beliau yang hadir ke ibu pejabat SPRM jam 9.30 pagi tadi secara sukarela bagi membantu siasatan terhadap kes 1MDB.

“Saya datang hari ini sebab dipanggil oleh SPRM untuk menjelaskan beberapa perkara berhubung Badan Kuasa Pelaburan Terengganu (TIA) sebelum kerajaan negeri menarik balik dan serahkan kepada kerajaan Persekutuan dan ditukar nama kepada 1MDB.

“Saya tidak boleh cerita mengenai dokumen kerana ini boleh mengganggu proses siasatan SPRM,” tambahnya.

Ditanya samada beliau menggunakan platform ini untuk mengukuhkan kedudukan untuk berkempen jawatan Naib Presiden UMNO, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) KijalĀ itu menjawab: “Itu tidak ada kena mengena,”.

“Cuma yang saya nak katanya kita perlu telus dan punya integriti dalam apa juga tindakan yang kita buat walaupun kita terpaksa korbankan jawatan kita,” katanya.

Ahmad Said adalah Menteri Besar Terengganu ketika Badan Kuasa Pelaburan Terengganu (TIA) ditubuhkan pada 2008 dan kemudiannya bertukar taraf kepada koperasi perbadanan yang diberi nama 1MDB pada Januari 2009.

Semalam, seorang bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes 1MDB. -MalaysiaGazette