KUALA LUMPUR –  Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), P. Waythamoorthy bukan sahaja akan dilantik menjadi Ahli Dewan Negara hari ini malah beliau dikatakan bakal menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Menurut sumber, beliau akan memegang portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial.

Peguam dan aktivis masyarakat itu akan dilantik sebagai menteri sebaik sahaja selepas mengangkat sumpah jam pada 2 petang ini.

Jika benar, ia bermakna Waythamoorthy kembali semula ke Kabinet selepas empat tahun meletak jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika zaman kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketika itu, Waythamoorthy, 52, membuat keputusan drastik meletakan jawatan serta merta selepas beberapa bulan pada tahun 2014 kerana kecewa dengan kepimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa gagal memenuhi janji untuk menyelesaikan pelbagai isu masyarakat India.

“Selepas angkat sumpah, beliau akan terus ke Istana untuk lantikan menteri.

“Apa yang selama ini Waythamoorthy lakukan selama ini terutamanya untuk terus memperjuangkan isu masyarakat India tanpa jawatan kemudian menjawat jawatan Timbalan Menteri kemudian meletak jawatan kembali jelas menunjukkan beliau bukan seseorang yang perjuangkan sesuatu untuk kepentingan peribadi.

“Kini beliau kembali menerajui demi memastikan kelangsungan dan kepentingan serta kebajikan kaum India akan terus terbela. Itu yang penting, kita gembira dengan kehadiran beliau,” kata sumber yang sama.

Rata-rata sehingga hari ini tidak boleh menafikan tsunami politik yang digerakkan Hindraf memberi impak penting pada senario politik negara.

Sejak tahun 2007 sehingga tsunami tahun 2008, Hindraf sebenarnya telah memainkan peranan besar terutama dalam kemenangan kerajaan Pakatan Harapan sehingga terbentuknya kerajaan baharu hari ini.

Hindraf diharamkan pada 15 Oktober 2008 oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar ketika pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.

Kerajaan pada masa itu menyifatkan Hindraf sebagai ancaman kepada ketenteraman awam, keselamatan dan kedaulatan negara serta keharmonian kaum selepas menganjurkan protes besar-besaran di Kuala Lumpur pada 25 Nov 2007 bagi memperjuangkan nasib masyarakat India yang didakwa terpinggir di negara ini.

Pada hakikatnya, Hindraf secara realiti telah menyumbang kepada protes terbesar komuniti India di Kuala Lumpur pada tahun 2007 apabila puluhan ribu orang turun ke jalan raya kerana membantah perobohan kuil Hindu serta keadaan sosioekonomi masyarakat India di negara ini.

Susulan protes, pemimpin utama Hindraf termasuk P. Uthayakumar ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri dan hanya dibebaskan pada tahun 2009.

Ketika itu Waythamoorthy hidup dalam buangan di United Kingdom dan terbabit dalam saman ke atas kerajaan UK atas keadaan masyarakat India di Malaysia.

Waythamoorthy terus lantang dalam mempersoalkan kepincangan kerajaan BN sebelum mengadakan pertemuan dengan Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Ogos 2017 untuk menyuarakan sokongan dan membantu gabungan empat parti itu berkempen pada PRU-14.

Selain daripada Waythamoorthy, beberapa lagi nama yang akan mengangkat sumpah hari ini melalui lantikan Yang di-Pertuan Agong ialah Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Pengerusi Parti Amanah Negara Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Nama-nama lain yang turut mendapat lantikan yang sama ialah Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin, Datuk Ismail Ibrahim dan Marzuki Yahya.

Dua lagi nama ialah Datuk Husain Awang yang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu dan Asmak Husin yang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan. – MalaysiaGazette