Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari (tengah) menyaksikan penyerahan surat oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Suhaimi Kamaralzaman (tiga kiri) kepada Pengerusi Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH), Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah (empat kanan) pada Majlis Penyampaian Surat Tawaran Pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 03 OGOS 2018.
Gambar arkib: Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari (tengah) menyaksikan penyerahan surat oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Suhaimi Kamaralzaman (tiga kiri) kepada Pengerusi Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH), Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah (empat kanan) pada Majlis Penyampaian Surat Tawaran Pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) baru-baru ini. foto HAZROL ZAINAL, 03 OGOS 2018.

SUBANG- Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) pada harga RM2.55 bilion.

Menurut Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari harga tersebut adalah selepas mendapat diskaun sebanyak 28 peratus berdasarkan nilai buku bersih SPLASH pada 30 Jun iaitu RM3.54 bilion.

“Tawaran oleh Air Selangor untuk mengambilalih SPLASH pada nilai RM2.55 bilion itu telah dicapai setelah rundingan selama hampir setahun yang berlangsung di antara pihak Air Selangor dan SPLASH Holdings.

“Nilai ini adalah adil dan munasabah berasaskan kepada prinsip willing buyer, willing seller dan juga telah menerima pengesahan oleh penilai-penilai bebas yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan.

“Pengambilalihan ini juga akan menyelesaikan hutang tertunggak yang ditanggung oleh anak syarikat Air Selangor, iaitu SYABAS, kepada SPLASH untuk pembelian air terawat yang telah mencecah sebanyak RM4.7 bilion setakat 30 Jun 2018,” katanya semasa sidang media selepas majlis penyerahan Surat Tawaran Pengambilalihan SPLASH kepada Air Selangor hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman dan Pengerusi SPLASH, Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah.

Dalam pada itu, Suhaimi berkata, kedua-dua pihak mempunyai tempoh selama sebulan setengah lagi sebelum menandatangani perjanjian jual beli.

“Kami mempunyai tempoh selama sebulan setengah lagi untuk menyelesaikan beberapa perkara termasuk cara untuk membiayai pembayaran kepada SPLASH,” katanya.

Air Selangor akan membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM1.9 bilion dan baki pertimbangan sebanyak RM650 juta akan dibayar melalui bayaran ansuran tahunan untuk tempoh selama sembilan tahun.

Pengambilalihan itu tidak membabitkan apa-apa peruntukan kewangan dari dana Kerajaan Negeri Selangor dan telah distrukturkan dengan pembayaran secara jangka panjang.

Ini membolehkan Air Selangor beroperasi dengan tahap perbelanjaan kos operasi yang munasabah sekali gus mempastikan kadar tariff air yang tidak membebankan rakyat.

Untuk rekod, Air Selangor adalah sebuah syarikat khas (SPV) yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri untuk mengambilalih semua syarikat konsesi bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Air Selangor telah berjaya mengambilalih syarikat-syarikat konsesi air SYABAS, PNSB dan Konsortium ABASS pada tahun 2015.-MalaysiaGazette