PLUS
Pengarah Urusan PLUS Malaysia, Datuk Azman Ismail di Majlis Tandatangani dan Memperkenalkan Jenama Baharu RnR (Rehat dan Rawat) PLUS di Dewan Bankuet, Persada PLUS, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 05 OKTOBER 2018

PETALING JAYA- Kehadiran 10 jenama besar rangkaian makanan dan minuman di kawasan rehat dan rawat (R&R) di lebuhraya kendalian PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) tidak akan membunuh usahawan-usahawan kecil tempatan.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, syarikat itu hanya mahu memenuhi citarasa pelanggan serta pengguna lebuh raya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan sentiasa berubah-ubah.

“Pengusaha-pengusaha kecil masih lagi diberikan ruang untuk berniaga di kawasan R&R.

“Kami cuma mahu mempelbagaikan pilihan kepada pelanggan,” katanya kepada pemberita selepas memeterai perjanjian dengan 10 jenama utama makanan dan minuman di sini hari ini

Sepuluh jenama tersebut adalah Starbucks, Krispy Kreme, Harold’s Bread, Mohd. Chan, Famous Amous, A&W, Dunkin Donut, MyNews, Kenny Rogers dan Line Clear.

Jelas Azman, PLUS melayan lebih sejuta pelanggan ketika ini dan kajian pasaran yang dilakukannya mendapati banyak ruang untuk syarikat pengendali lebuhraya itu mendekati pelanggan serta memenuhi permintaan mereka yang terdiri daripada pelbagai segmen yang berlainan.

Para pelanggan hari ini katanya, sudah banyak beralih kepada dunia digital serta mahukan lebih banyak tempat makan yang sesuai dengan gaya hidup mereka ditawarkan.

Medan selera biasa sudah tidak lagi menjadi pilihan kebanyakan pelanggan yang mana mereka lebih berminat untuk makan di tempat-tempat berkonsepkan insta-worthy.

Dalam pada itu, Azman berkata, PLUS merancang untuk menaik taraf kira-kira lima buah kawasan R&R menjelang akhir 2019.-MalaysiaGazette