S. Letchumanan
S. Letchumanan

KUALA LUMPUR – Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, Kementerian Komunikai dan Multimedia, S. Letchumanan dilantik sebagai Ketua Pengarah Unit Pembangunan Sosio Ekonomi Masyarakat India (SEDIC) yang baharu.

Perkara tersebut dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Nasional dan Kesejahteraan Sosial), Senator P. Waytha Moorthy yang memberitahu, pelantikan itu berkuatkuasa Jumaat ini.

Menurutnya, Letchumanan menggantikan tempat yang kini disandang oleh Prof. Datuk Dr N.S Rajendran.

Katanya, Rajendran akan kembali ke bidang akademik setelah menerajui SEDIC sejak enam tahun setengah.

“Pasukan baru SEDIC akan berkerja ke arah meningkatkan kapasiti organisasi tersebut dengan tujuan untuk memenuhi sasaran dan aspirasi sepertimana dalam Manifesto Pakatan Harapan untuk masyarakat India Malaysia.

“Program-program SEDIC akan menumpu kepada beberapa bidang utama termasuk Pendidikan, Pemerkasaan Belia, Ekonomi, Peningkatan Kerjaya, Pembangunan Sosial dan aktiviti-aktiviti lain yang akan menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi masyarakat India Malaysia,” katanya.

Waytha berkata, Letchuman merupakan seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik yang telah memegang pelbagai jawatan dalam perkhidmatan awam sejak 1989.

Katanya, Letchumanan akan bertindak terhadap program-program dan hasil kerja SEDIC akan dipantau serta diukur dalam memastikan dana yang disalurkan oleh kerajaan digunakan secara berkesan.

“Kami akan berkerjasama dengan semua pihak yang berkongsi matlamat SEDIC, dan seterusnya menyampaikan visi kerajaan untuk masyarakat India Malaysia dengan cara yang telus dan bertanggungjawab,” ujarnya. – MalaysiaGazette