Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kembali menghadiri mesyuarat ASEAN selepas 15 tahun berkata Malaysia amat bimbang dengan aliran mega global terkini yang melibatkan perang perdagangan antara kuasa-kuasa utama dunia.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kembali menghadiri mesyuarat ASEAN selepas 15 tahun berkata Malaysia amat bimbang dengan aliran mega global terkini yang melibatkan perang perdagangan antara kuasa-kuasa utama dunia.

BALI (Indonesia) – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kembali menghadiri mesyuarat ASEAN selepas 15 tahun berkata Malaysia amat bimbang dengan aliran mega global terkini yang melibatkan perang perdagangan antara kuasa-kuasa utama dunia.

Beliau berkata perang perdagangan tidak akan memberi apa-apa manfaat kepada negara-negara yang terlibat mahupun seluruh dunia.

Memandangkan Malaysia adalah sebuah negara dagangan, ia memerlukan kestabilan dalam pasaran dunia dan jika keadaan menjadi tidak menentu, sudah tentunya negara akan terjejas, kata Dr Mahathir pada Perhimpunan Pemimpin-Pemimpin ASEAN yang diadakan, di sini, hari ini.

“Atas sebab ini, kita mahu menyelesaikan semua masalah (tetapi) bukan menerusi sebarang bentuk perang tetapi secara rundingan, timbang tara dan membawa isu ke mahkamah dunia.

“Dengan berbuat demikian, kita dapat menghindar sebarang kerosakan kepada negara kita apabila berlakunya konfrontasi antara kita,” katanya ketika berucap pada mesyuarat tersebut yang diadakan sebagai acara sampingan bagi Mesyuarat Tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang bertemakan “Mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Menangani Jurang Pembangunan Menerusi Tindakan Kerjasama Serantau dan Global”.

Semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Bali jugalah beliau mengucapkan selamat tinggal kepada perkumpulan 10 anggota itu apabila beliau meletakkan jawatan sebagai perdana menteri Malaysia pada 2003.

Ini merupakan kunjungan kedua Dr Mahathir ke Indonesia semenjak menjadi perdana menteri sekali lagi selepas pilihan raya bersejarah Malaysia pada Mei lepas.

Perdana Menteri berkata beliau mahu melihat ASEAN memainkan peranan yang lebih besar daripada sebelum ini.

“Saya mengharapkan rakan sejawatan ASEAN saya untuk bersama-sama berganding bahu mencapai sasaran SDG bagi negara kita masing-masing.

“Saya juga berharap dapat melihat sokongan daripada IMF, Bank Dunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menerusi pelbagai agensinya, terhadap ASEAN dan rantau ini,” katanya yang menegaskan Malaysia komited untuk mencapai pertumbuhan pembangunan mampan.

Perdana Menteri berkata Malaysia sentiasa memberi perhatian kepada kemampanan pembangunannya.

“Memang benar yang kami terpaksa menebang banyak pokok dalam hutan untuk menanam kelapa sawit tetapi hari ini kami tidak lagi berbuat demikian kerana kami merasakan ada sumber pendapatan lain untuk kami.

“Pada masa yang sama, kami memastikan pengeluaran minyak sawit mengikut standard-standard tertentu.

“Kami merasakan tanggungjawab ini kepada dunia dan kami berharap dunia akan memberi sokongan kepada usaha kami,” katanya.

Dr Mahathir juga merujuk langkah (oleh Kesatuan Eropah) melabel minyak sawit dari Malaysia sebagai tidak sesuai bagi makanan, yang mana katanya tidak benar sama sekali kerana minyak sawit telah digunakan oleh berjuta-juta orang di seluruh dunia tanpa sebarang bahaya.

Malahan, jelasnya, hutan Malaysia adalah lestari dengan 48 peratus diliputi hutan dara sambil menambah “kami menyerap sebahagian besar karbon monoksida dunia yang dihasilkan oleh orang lain”.

Dr Mahathir juga berkata Malaysia berhasrat bekerjasama dengan semua negara ASEAN lain untuk meningkatkan taraf hidup dan bersedia berkongsi kaedahnya dalam mengekalkan pembangunan Malaysia.

“Bagaimanapun, kami berharap kami akan dapat melakukan ini di samping memastikan pemulihan ekonomi, kewangan dan kestabilan negara kami,” katanya sambil menambah Malaysia telah melalui perubahan kerajaan selepas 61 tahun.

Malaysia berdepan dengan masalah yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu dan kini berusaha untuk menangani isu-isu yang menjejaskan kewangan dan pentadbiran.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan baharu komited dengan program yang telah dirangka oleh ASEAN.

ASEAN dianggotai oleh Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. Papua New Guinea memiliki status pemerhati.

Dr Mahathir pulang ke Kuala Lumpur dari Bali malam ini.

— BERNAMA