KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P.  Waytha Moothy mendedahkan n ‘tidak semua’ peruntukan yang dicanang oleh kerajaan terdahulu, Barisan Nasional (BN) telah sampai kepada masyarakat India selama ini.

Lantaran itu, beliau telah mengarahkan Jabatan Audit untuk melakukan audit sbagi mengetahui jumlah sebenar peruntukan yang telah ‘sampai’.

Waytha berkata, beliau mengetahui perkara itu selepas dimaklumkan oleh beberapa pihak.

Peruntukan berkenaan adalah untuk meningkatkan taraf kehidupan dan memajukan masyarakat India di negara ini.

“Memang benar pelbagai inisiatif yang baik telah dilaksanakan serta dalam perancangan oleh kerajaan terdahulu kepada masyarakat India namun pada masa yang sama, saya ingin nyatakan tidak semua wang dinyatakan itu telah ‘disalurkan’ kepada rakyat.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah mengarahkan Jabatan Audit untuk melakukan audit bagi memastikan jumlah sebenar yang telah disalurkan kepada masyarakat India melalui pelbagai program sebelum ini,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan tambahan oleh Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C. Sivarrajh yang mahu mengetahui seandainya PH akan meneruskan inisiatif kerajaan BN dalam meningkatkan taraf masyarakat India.

Bagaimanapun, Wayta menyatakan komitmen bahawa pihaknya akan melaksanakan program yang akan memberi manfaat kepada masyarakat India terutamanya golongan B40.

“Banyak rancangan dalam perancangan dan pelaksanaan ketika ini. Kita tidak abaikan begitu sahaja. Tetapi, pada masa yang sama, kami juga sedang melakukan kaji selidik terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang layak menerima dana menganjurkan program untuk masyarakat India,” tegasnya.

Antara agenda kerajaan BN dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat India diterjemahkan menerusi Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia yang dilancarkan pada dua tahun lepas.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah  mengumumkan peruntukan RM50 juta kepada Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India yang dikendalikan Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC), peruntukan RM50 juta untuk pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dan peruntukan RM50 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan serta baik pulih sekolah-sekolah Tamil sebelum ini. – MalaysiaGazette