Syafiqah Shamsul tidak melepaskan peluang membaca buku "The End Of UMNO" pada Pelancaran Buku "The End Of UMNO? Where is UMNO headed after GE14?" di AIAC Auditorium (KLRCA) Bangunan Sulaiman, Jalan Sultan Hishamuddin, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 20 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Berdasarkan kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu tidak dapat disangkal bahawa UMNO masih merupakan sebuah parti politik yang kuat dan berpengaruh.

Yang kalah teruk adalah Barisan Nasional (BN).

Lantaran itu, penganalisis politik, Mohd Roslan Saludin menyifatkan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa UMNO sudah tiada dan mengajak ahli-ahli parti itu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai sasaran mudah untuk meraih sokongan orang Melayu.

“Kenyataan yang dibuat oleh Dr Mahathir adalah lazim bagi seorang pemimpin parti politik baharu yang sewajar dinilai secara lebih mendalam dan rasional.

“Hakikatnya, sebagai sebuah parti, berdasarkan keputusan PRU14, UMNO masih kuat dan berpengaruh. Yang kalah teruk adalah BN,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri yang mendakwa UMNO yang dahulunya memperjuangkan agama, bangsa dan negara sudah tiada lagi.

Sebaliknya, kata Pengerusi PPBM itu, perjuangan UMNO ialah untuk kekalkan Datuk Seri Najib Razak Razak sebagai pencuri yang terbesar.

Berikutan itu, Dr Mahathir mengajak ahli-ahli UMNO menyertai parti tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd Roslan yang juga bekas Felo Pusat Syariah, Undang-undang dan Sains Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkata, sebagai parti baharu, PPBM disifatkan sebagai parti serpihan UMNO.

Ia sama seperti Parti Negara, Pas (suatu ketika dahulu) dan Semangat 46 berdasarkan penubuhannya yang merangkumi Perlembagaan, kepimpinan dan penyokongnya yang jelas didominasi oleh roh dan pengaruh UMNO.

“Sebagai parti baru, PPBM disifatkan parti serpihan UMNO saperti juga Parti Negara, Parti Semangat 46 dan Parti PAS satu ketika dahulu.

“Kesemua parti serpihan UMNO sebelum PPBM ternyata gagal dan kali ini PPBM sedang giat berusaha memenangi hati orang Melayu bagi menggantikan UMNO hingga mendorong Dr Mahathir membuat kenyataan sedemikian,” katanya.

Jelas beliau, perkara yang mendasari kesemua parti ini adalah semangat kebangsaan dan kesatuan orang Melayu secara khusus bermatlamatkan memilihara kepentingan Melayu, Islam, bahasa dan budaya Melayu sebagai unsur pengikat bagi meraih sokongan orang Melayu.

Menurut Mohd Roslan, hakikatnya landskap politik Malaysia masih tidak berubah pada perkara asas iaitu meraih penglibatan semua kaum dalam membentuk kerajaan dan bertoleransi memelihara hubungan kaum dan agama bagi mewujudkan sebuah negara yang sejahtera sekaligus mengelak anarki.

Kalau dulu, UMNO memilih untuk bergabung dengan MCA, MIC dan parti-parti lain bagi menubuhkan Perikatan dan kemudiannya BNbagi membentuk kerajaan.

Pada PRU14 pula menyaksikan PKR, PPBM, DAP dan parti-parti lain di Sabah dan Sarawak bergabung dalam Pakatan Harapan (PH) bagi menewask BN dan seterusnya membentuk kerajaan Malaysia Baharu.

Katanya lagi, buat masa ini sebahagian besar orang Melayu masih menjadi pemerhati senario politik semasa.

Ini dipengaruhi dengan sejarah UMNO itu sendiri yang berkait rapat dengan institusi Raja, yang mana UMNO adalah parti yang dilahirkan di istana.

Katanya, PPBM perlu menyerlahkan pengaruhnya agar mampu meraih sokongan institusi Raja, meskipun setakat ini belum nampak atau belum jelas sokongan kepada parti berkenaan.

Ia juga disebabkan institusi raja masih mengekalkan sikap untuk tidak terlibat dengan politik.

“Namun, sokongan instiusi Raja kepada PPBM atau UMNO sebenarnya mampu mengubah sokongan orang Melayu kerana ia dianggap sebagai payung kepada agama Islam dan orang Melayu,” ujar Mohd Roslan. – MalaysiaGazette