Keadaan kelihatan sesak di hadapan pintu dewan semasa sebahagian ahli beratur untuk mengundi pada Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi cabang Hulu Langat di SJKC Kampung Baru Semenyih, Semenyih, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 28 OKTOBER 2018
Keadaan kelihatan sesak di hadapan pintu dewan semasa sebahagian ahli beratur untuk mengundi pada Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi cabang Hulu Langat di SJKC Kampung Baru Semenyih, Semenyih, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 28 OKTOBER 2018

HULU LANGAT – Keadaan sesak berlaku di pusat pengundian PKR di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Baru Semenyih apabila puluhan pengundi terpaksa tolak menolak bagi memasuki dewan.

Rata-rata pengundi mengeluh apabila mereka terpaksa menunggu lebih 15 minit bagi memasuki dewan.

Malah ada yang menunggu selama 45 minit bagi tujuan sama.

Tinjauan Malaysia Gazette mendapati tiada langsung barisan dibuat di pintu masuk pusat pengundian di sini.

“Patut buat dua baris, warga emas dan pengundi biasa. Mana boleh macam ini. Penat orang tunggu,” jerit seorang pengundi.

“Bagilah kami masuk nak undi, kata seorang lagi pengundi. Sabar semua,” kata seorang pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (​RELA) yang bertugas.

Dalam pada itu, berlaku juga drama tolak menolak dalam kalangan pengundi dan pihak RELA.

MGF28102018_PEMILIHAN PKR_09
Sebahagian ahli ketika menggunakan e-undi pada Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi cabang Hulu Langat di SJKC Kampung Baru Semenyih, Semenyih, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 28 OKTOBER 2018

Seorang pengundi yang enggan dinamakan berkata, perkara ini berlaku apabila pihak pengurusan pemilihan membuka dua pintu di dewan berkenan secara serentak dan mengakibatkan keadaan di dalam dewan sesak.

“Masalah kat sini adalah kedua-dua pintu masuk dibuka serentak, kalau dah 40 pengundi masuk pintu depan dan 40 orang pengundi masuk pintu lagi satu memang akan sesak. Sepatutnya pihak pengurusan buka satu pintu sahaja,” kata seorang ahli PKR.

Sejumlah 11,858 ahli PKR di sini layak mengundi yang merupakan satu daripada enam cabang yang membuat pengundian hari ini.

Lima cabang lagi adalah Tanjong Karang, Kuala Selangor, Ampang, Pandan, Shah Alam yang mempunyai secara keseluruhan mempunyai lebih 61,000 ahli.

Ini adalah fasa terakhir proses pemilihan PKR peringkat Selangor daripada 22 cabang di negeri hari ini.

Untuk rekod Selangor mempunyai keanggotaan paling ramai disahkan layak mengundi iaitu 249,850 orang. – MalaysiaGazette