Datin Seri Rosmah Mansor
Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor dan bekas pembantunya, Datuk Rizak Mansor akan didakwa dengan pertuduhan baharu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di mahkamah pada Khamis ini.

Sumber berkata, enam pertuduhan itu membabitkan projek hibrid solar RM1.25 juta di kawasan pedalaman Sarawak.

Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu tidak akan ditahan sebelum dibawa ke mahkamah, menurut sumber yang dipetik Star Online.

Sebaliknya, Rosmah telah diminta pergi ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 8.30 pagi pada Khamis ini

rizal
Rizal Mansor

Sementara itu, peguam Rosmah, Datuk Geethan Ram Vincent mengesahkan perkara itu tetapi masih tidak tahu pertuduhan yang akan dikenakan terhadap anak guamnya.

Projek itu mencetuskan kontroversi selepas Sarawak Report mendakwa projek berkenaan telah dianugerahkan kepada Jepak Holdings Sdn. Bhd., sebuah syarikat pengangkutan atas arahan Najib.

Jepak Holdings dilantik pada akhir tahun 2016 untuk membekal diesel, pembaikan penjana dan menyediakan sistem hibrid solar untuk 369 buah sekolah luar bandar di Sarawak.

Sehingga kini, tiada sekolah yang mendapat kemudahan tersebut.

Rizal ditahan oleh SPRM pada bulan Julai lalu berikutan dakwaan beliau meminta wang dari Jepak Holdings atas projek itu.

Bagaimanapun, dipercayai tiada pemberian wang dilakukan.

SPRM mula menyiasat projek bilion ringgit pada April lalu, sebulan sebelum pilihan raya umum. – MalaysiaGazette