Mujahid Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Zukri Samat pada sidang media mengenai akaun Tabung Haji di Parlimen, hari ini.

KUALA LUMPUR – Akaun Lembaga Tabung Haji (TH) pada 2017 yang dibentangkan di Parlimen hari ini menunjukkan jumlah aset keseluruhan organisasi itu adalah sebanyak RM70. 3 bilion dengan liabiliti sebanyak RM74.4 bilion.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, laporan Audit Negara juga menunjukkan defisit sebanyak RM4.1 bilion sehingga 31 Disember 2017.

Mujahid berkata, dengan kedudukan kewangan sebenar Tabung Haji pada tahun 2017 sebenarnya Tabung Haji telah melanggar Akta Tabung Haji 1995 apabila mengisytiharkan akaun dan pembayaran hibah (dividen).

Menurut beliau, akta tersebut khusus mengenai pembayaran hibah.

“Terdapat dua syarat yang perlu dipenuhi sebelum pembayaran hibah iaitu aset tidak boleh kurang daripada liabiliti serta perlu ada keuntungan yang boleh diagihkan.

“TH telah mengisytiharkan hibah sejak 2014 dan tidak mengikut akta kerana asetnya kurang daripada liabiliti. Untung baru boleh keluarkan hibah,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen sebentar tadi.

Tambah Mujahid, ketika ini pihaknya sedang melakukan pemulihan secara menyeluruh bagi memulihkan penyata Tabung Haji.

“Bawah pelan pemulihan, Ahli Lembaga Pengarah yang baharu mencadangkan penubuhan Special Purpose Vehicle (SPV) bagi mengambil alih, memulih dan memaksimumkan pemulihan aset TH yang menunjukkan prestasi.

“Kabinet juga telah berbincang tentang pelan pemulihan ini dengan teliti dan memberi sokongan penuh terhadap pelan tersebut supaya kedudukan kewangan TH dapat diperbaharui serta kembalikan keyakinan rakyat.

“Dalam pada itu, kerajaan juga telah memutuskan untuk meletakkan TH dibawah pengawasan Bank Negara Malaysia  secara pentadbiran bermula 1 Januari depan,” ujarnya. – MalaysiaGazette