Mahkamah Sesyen Kangar menetapkan 15 Feb untuk mendengar semula sebutan kes bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang didakwa mencabul seorang remaja perempuan bawah umur, tahun lepas.
Mahkamah Sesyen Kangar menetapkan 15 Feb untuk mendengar semula sebutan kes bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang didakwa mencabul seorang remaja perempuan bawah umur, tahun lepas.

KANGAR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim memberitahu satu peristiwa bersejarah bakal mengambil tempat di Malaysia.

Shahidan yang juga bekas Menteri Besar Perlis berkata, walaupun dirinya bukan watak dalam peristiwa penting itu, tetapi beliau telah bersedia untuk menyaksikan “silap mata” yang bakal mengambil tempat.

Katanya kepada Sinchew Daily, apa yang berlaku bagaikan silap mata kerana ia akan mengambil tempat secara “sekelip mata” sahaja.

Beliau enggan mendedahkan jenis “silap mata” itu selain tidak mengesahkan khabar angin bahawa arus keluar UMNO akan menular dari Sabah ke utara Semenanjung.

Menurutnya, walaupun dia tidak ada apa-apa berita mengenai pengunduran ahli dari UMNO, tetapi kepimpinan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man akan berakhir jika arus keluar UMNO betul-betul berlaku di utara Semenanjung.

“Namun begitu, saya tidak tahu sama ada keadaan seperti ini akan mengambil tempat,” katanya kepada Sinchew Daily.

Walaupun UMNO menang di Perlis pada Pilihan Raya Umum 2018 pada Mei lalu, tetapi kerajaan negeri sukar dibentuk pada masa itu apabila Shahidan mencadangkan Datuk Ismail Kassim sementara istana negeri berkenan supaya Azlan menjadi Menteri Besar.

Susulan kemelut yang berlaku, Ismail yang juga adik Shahidan telah keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas.

Berikutan wakil rakyat Sabah yang keluar UMNO beramai-ramai selain sebaran gambar Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berjamu selera bersama beberapa pemimpin UMNO termasuk Shahidan, spekulasi bertiup kencang bahawa arus keluar UMNO akan berterusan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bagaimanapun menyatakan beliau tidak akan meninggalkan UMNO manakala perjumpaan dengan Dr. Mahathir diadakan untuk mengelakkan pendaftaran UMNO dibatalkan.

Azlan pula tidak memberi ulasan tentang spekulasi yang tersebar dengan alasan tidak perlu berkomen tentang apa yang belum berlaku kerana ia hanya akan mengeruhkan keadaan. – MalaysiaGazette