Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 46 pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan rasuah, hari ini menarik balik permohonannya untuk mendapatkan pasport yang disimpan oleh Mahkamah Sesyen bagi membolehkannya menunaikan ibadah umrah, di Makkah pada 17 Jan.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 46 pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan rasuah, hari ini menarik balik permohonannya untuk mendapatkan pasport yang disimpan oleh Mahkamah Sesyen bagi membolehkannya menunaikan ibadah umrah, di Makkah pada 17 Jan.

Peguam Kitson Foong memaklumkan Hakim Rozina Ayob bahawa pihaknya memfailkan permohonan itu semalam dan Rozina bertanyakan mengapa pembelaan lambat membuat permohonan itu kerana pihak pendakwaan memerlukan masa untuk menjawab permohonan tersebut.

“Walaupun pemohon (Zahid) boleh dapatkan pasport dalam masa terdekat, untuk dapatkan visa (bagi menunaikan Umrah) perlu lebih seminggu,” kata Hakim itu.

Ditanya media mengenai perkara itu, Foong berkata Zahid sepatutnya menunaikan umrah pada 17 Jan ini dan berikutan kesuntukan masa, anak guamnya terpaksa menangguhkan ibadah umrah apabila hakim turut memberitahu sukar untuk mendapatkan visa sebelum 17 Jan.

“Pihak pembelaan baru memfailkan permohonan untuk mendapatkan pasport itu pada 8 Jan (Selasa) namun ia dibantah oleh pihak pendakwaan kerana mereka menyifatkan permohonan itu lewat,” kata Foong.

Beliau berkata permohonan untuk mendapatkan pasport itu adalah penting untuk anak guamnya mendapatkan visa dan pihaknya akan membuat permohonan baharu.

Dalam prosiding itu pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran dan Lee Keng Fatt.

Pada 19 Okt dan 14 Dis tahun lepas, Zahid, 66, mengaku tidak bersalah atas 46 pertuduhan iaitu 11 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

— BERNAMA