nufam
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat penerbangan digesa mengeluarkan satu polisi komprehensif berhubung etika media sosial sebelum mengambil sebarang tindakan ke atas kakitangannya.

Sekretariat Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) berkata, langkah itu perlu dilaksanakan kerana ada syarikat-syarikat penerbangan yang mengambil tindakan di luar batasan sehingga melanggarkan hak dan kebebasan kakitangan mereka.

Ia susulan beberapa syarikat penerbangan bertindak menggantung kakitangan yang menyiarkan aktiviti mereka diĀ  media sosial.

Tindakan itu jelas tidak demokratik dan melanggar hak dan ruang peribadi kakitangan

Jika syarikat beranggapan kakitangan telah melanggar atau tidak mematuhi dasar kerja, maka syarikat perlu membuktikan kes mereka, kata NUFAM.

“Sekiranya syarikat-syarikat ini beranggapan mereka boleh menamatkan mana-mana pekerja yang berkongsi foto atau komen di Facebook peribadi mereka, maka tindakan ini adalah salah. Ia merupakan tindakan menceroboh dan membuli pekerja.

“Sebarang posting yang dibuat oleh pekerja itu akan menjadi hak dan kebebasan jika mereka menyiarkannya di media sosial mereka sendiri.

“Selagi ia dilakukan secara persendirian dan dalam kalangan kawan-kawan mereka sendiri, syarikat tidak boleh bertindak terhadap pekerja-pekerja, apatah lagi ketika mereka tidak bertugas,” tambah NUFAM.

Malah, syarikat itu boleh dianggap telah mengintip kakitangan dan boleh disaman kerana mencerobohi media sosial kakitangan sendiri.

Katanya lagi, ada batasan tertentu terhadap sebarang hukuman yang boleh diambil terhadap pekerja dan syarikat penerbangan tidak seharusnya bertindak secara tidak rasional.

Syarikat boleh memberi amaran kepada pekerja dan minta mereka memadamkan posting yang dikongsi jika foto atau mesej tersebut didapati menjejaskan syarikat.

“Itu adalah perkara yang betul dan adil untuk dilakukan terlebih dahulu. Jika amaran tidak dipatuhi oleh pekerja, maka syarikat itu boleh bertindak. Syarikat tidak sepatutnya bertindak secara bebas seolah-olah mereka adalah pihak berkuasa

“Perlu diketahui setiap pekerja mempunyai hak untuk menguruskan akaun media sosial mereka sendiri selagi akaun itu bukan milik syarikat,” ujar NUFAM.

Bagi kakitangan pula, mereka perlu mengetahui batasan dan memahami etika kerja dan peraturan syarikat sebelum mereka membuat apa-apa dan tidak sepatutnya berkongsi secara bebas tentang syarikat itu jika mereka tidak pasti.

Sebarang kenyataan yang menyinggung atau penyiaran video langsung semasa kerja atau semasa dalam pakaian seragam biasanya tidak dibenarkan oleh beberapa syarikat penerbangan.

Sesetengah syarikat penerbangan asing telah mengharamkan anak kapal dan juruterbang untuk berkongsi sebarang foto di tempat kerja dalam media sosial.

Berhubung isu ini, NUFAM telah menulis surat kepada Kementerian Sumber Manusia meminta mereka melihat perkara ini dan masih menunggu maklum balas. – MalaysiaGazette