Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap kepada media selepas sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Kampung Raja, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 17 JANUARI 2019.

TANAH RATA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan bahawa beliau tidak pernah membela nasib masyarakat Orang A,sli ketika menjadi Perdana Menteri sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sebaliknya Najib berkata, banyak program untuk komuniti Orang Asli dilaksanakan meskipun ia memakan masa lama untuk memberi kemudahan kepada mereka.

“Itu tak betul, saya memang membela masyarakat Orang Asli, banyak program.

“Mereka ini mendiami kawasan luas. Jadi kalau nak tempatkan semua (Orang Asli) akan ambil masa yang agak lama,” katanya kepada pemberita pada kenduri rakyat di Masjid Nurul Huda, Kampung Raja, di sini, hari ini.

MGF17012019_NAJIB KEMPEN KG RAJA07
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beramah mesra dengan salah seorang penduduk, Jasni Harun (kiri) ketika sesi walkabout bagi membantu Calon Barisan Nasional, Ramli Mohd Noor yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Kampung Raja, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 17 JANUARI 2019.

Sementara itu mengulas isu gambar yang dimuat naik di akaun Facebooknya semalam, Najib berkata, pertemuan antara Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hanya berbincang tentang memperkukuhkan UMNO.

“Kita bincang sebab kita berterima kasih kepada UMNO, tidak ada agenda lain, bukan soal jawatan, bukan soal kedudukan tapi soal perjuangan.

“Kita nampak UMNO satu-satunya parti yang boleh mengemudikan negara kita ke arah masa depan yang lebih cemerlang,” katanya.

Ketika ditanya tentang kenyataan Lim Kit Siang yang mengatakan kehadiran Najib ke Cameron Highlands mempunyai agenda tertentu, beliau bagaimanapun menyifatkan Penasihat DAP itu sebagai terlalu obses kepadanya.

“Itu dia obses kata saya, saya pun tak faham kenapa mereka obses kat saya, hari-hari nak buat posting.

“Saya datang bantu calon BN saja, tak ada apa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette