Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Calon Barisan Nasional, Ramli Mohd Noor (kiri) bergambar dengan kanak-kanak orang asli ketika sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Pos Terisu, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 17 JANUARI 2019.

TANAH RATA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sejak beliau menjadi pembangkang, semua siaran atau ‘troll’ dalam talian di akaun Facebooknya dibuat berasaskan fakta dan bukannya fitnah.

Beliau berkata, banyak trollnya gagal dijawab oleh Menteri-Menteri Pakatan Harapan (PH) untuk menangkis pelbagai tuduhan palsu terhadap Kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Saya buat itu (troll) disokong dengan fakta dan angka sebenarnya. Bila saya jawab dengan fakta dan angka, banyak juga posting saya tak terjawab oleh Menteri-Menteri PH.

“Saya menangkis pendapat atau kenyataan mereka berasaskan kepada kenyataan yang disokong dengan fakta sebenarnya.

“Itu pendekatan saya, tidak buat fitnah atau cerita rekaan, saya berpegang kepada prinsip untuk nyatakan yang benar walaupun mereka tak setuju untuk kebaikan rakyat dan negara,” katanya pada sidang media selepas menyantuni komuniti Islam di Masjid Nurul Huda, Kampung Raja, di sini, hari ini.

Sejak tidak bergelar Perdana Menteri dan Presiden UMNO,  ahli Parlimen Pekan itu banyak meluangkan masanya bersama rakyat termasuk menjawab tuduhan serta membuat posting ‘troll” di akaun Facebooknya.

Najib turut dilihat lebih santai dan bersahaja apabila memuat naik posting di laman media sosial sejak kebelakangan dan pendekatannya itu mendapat pujian ribuan netizen. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan