Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Kekalahan calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands merupakan mesej jelas yang dihantar oleh rakyat kepada kerajaan.

Datuk Seri Najib Razak berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) ini bermakna PH ditolak rakyat.

“PH gunakan jentera dan aset kerajaan. PH gunakan duit dan pelbagai ‘sumbangan’ kerajaan. PH gunakan agensi kerajaan menyerang calon dan parti BN.

“Mereka silap. Mereka fikir rakyat tidak tahu menilai,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, rakyat sudah muak dengan segala penipuan dan fitnah PH yang langsung tidak membawa sebarang kebaikan.

“Rakyat mahukan Ramli Mohd Nor mewakili suara mereka, Orang asli pertama di Dewan Rakyat,” ujar beliau yang percaya bekas pegawai polis itu akan membawa kemajuan di Cameron Highlands.

Najib turut mengucapkan tahniah kepada parti-parti komponen BN yang berkampung sepanjang kempen pilihan raya itu.

Malah, beliau turut menghargai sokongan pemimpin-pemimpin Pas yang membantu kemenangan BN di Cameron Highlands.

“Terima kasih kepada semua pengundi yang memilih BN termasuk di Felda, kampung tradisional dan pos Orang Asli. Ini adalah kemenangan rakyat!,” tambah beliau. – MalaysiaGazette